Jaga hubungan baik dengan kaum, agama lain

Jaga hubungan baik dengan kaum, agama lain

Anwar Ibrahim menandatangani plak peluncuran buku Syeikh Yusuf Al Qaradawi bertajuk “Sang Pelita Umat” di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin dunia Islam boleh bertegas dalam mempertahan dan menegakkan agama tetapi pada masa sama perlu juga menjaga hubungan baik dengan penganut agama lain.

Hal itu juga kata Perdana Menteri, antara pesanan ulama berpengaruh Allahyarham Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi kepada beliau sepanjang persahabatan mereka yang dipegangnya sehingga hari ini.

Jelasnya, pesanan tersebut dititipkan al-Qaradawi dalam pertemuan di Qatar ketika beliau mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut disertai oleh bekas Naib Presiden AS, Hillary Clinton.

“Selepas itu saya makan dengan Syeikh al-Qaradawi. Berbeza dengan orang lain yang menuduh Anwar baik dengan Amerika, itu dan ini, beliau tidak. Beliau pendekatannya lain.

“Beliau tanya berbincang soal apa dan beliau kata teruskan Anwar, kita perlu dalam kalangan pemimpin umat Islam yang boleh menyampaikan pandangan kita,” katanya pada Majlis Peluncuran Buku Syeikh Yusuf al-Qaradawi Sebuah Autobiografi Sang Pelita Umat, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, al-Qaradawi melontarkan pandangan berbeza dengan tohmahan diterimanya yang turut menggelarnya sebagai alat, perkakas bahkan ejen AS.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan karya besar yang dihasilkan ilmuwan Islam dijadikan rujukan dalam menyelesaikan permasalahan yang ada pada hari ini.

Perdana Menteri berkata, ramai yang membicarakan pelbagai isu termasuk soal Melayu dan Islam, namun tidak semuanya membaca mengenai perkara yang dibangkitkan.

“Dalam pertarungan kegalauan pemikiran dunia sekarang, semua bicara soal Melayu, Islam dan sejarah Kedah dan Pulau Pinang, tetapi tidak semuanya membaca dan menelaah. Itu masalahnya.

“Sebab itu, merujuk kepada karya besar adalah satu keperluan, membaca dan menelaah. Tidak mungkin seorang guru, pemimpin, apa lagi Perdana Menteri yang harus serba tahu.

“Jadi, harus ada sikap untuk mendengar dan sentiasa membaca khazanah ilmu yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN