PETALING JAYA: Pemanasan global pada waktu ini didapati menjadi faktor utama berlakunya perubahan iklim dan pola cuaca di Malaysia sehingga mengubah suhu serta jumlah taburan hujan.
Sehubungan itu, hujan lebat dikatakan boleh berlaku di Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak walaupun negara kini berdepan dengan fenomena El-Nino.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Governan Persekitaran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, alam sekitar khususnya iklim dan cuaca didapati mengalami ‘kecelaruan’ akibat pengaruh pemanasan global yang mengganggu keseimbangan semula jadi.
“Sepatutnya Malaysia kini sedang mengalami musim Monsun Barat Daya dari bulan Mei hingga September dengan cuaca yang kering dan jumlah hujan yang berkurangan serta suhu yang lebih panas, tetapi berlaku sebaliknya.
“Semua ini berpunca daripada aktiviti manusia yang mengubah persekitaran mereka secara drastik dan pada skala yang luas yang mana sebahagian daripada aktiviti ini tidak berlestari dengan alam sekitar,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, ketidaktentuan cuaca tidak sahaja berlaku di Malaysia tetapi berlaku di seluruh dunia.
Katanya, ia merupakan fenomena global yang harus dihadapi dengan suhu semakin meningkat di sesetengah negara yang mana pada 3 Julai lalu, Pertubuhan Meteorological Dunia (WMO) melaporkan ia merupakan suhu terpanas dicatatkan di planet bumi.
“Semua perubahan yang berlaku ini diramalkan, cuma ‘keterukannya’ masih samar kerana pengaruh-pengaruh di atas. Justeru, persiapan holistik merangkumi semua pemegang taruh haruslah diberi keutamaan agar segala impak negatif terhadap pelbagai sektor khususnya kesejahteraan masyarakat dapat diminimumkan,” katanya.
Menurut laporan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan berkata, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memaklumkan, fenomena El-Nino bermula dan kekuatannya dijangka meningkat pada akhir tahun 2023 sehingga awal tahun 2024 dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
Fenomena itu berlaku kerana terjadinya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5 darjah celcius dan biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan akan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.
Sementara itu, menurut Pakar Kesihatan Persekitaran, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Juliana Jalaludin, semasa Monsun Barat Daya berlaku, kebiasaannya angin bertiup secara konsisten dari barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Hal ini menyebabkan berlakunya kurang pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami taburan hujan yang lebih rendah dengan bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
“Bagaimanapun, hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai Semenanjung dan Barat Sabah terutamanya pada awal pagi. Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya.
Beliau berkata, pada Julai 2023 kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter (mm) sehingga 350 mm kecuali di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka menerima hujan sedikit di bawah purata antara 50 mm sehingga 150 mm.
“Di Sarawak, sebahagian kawasan dijangka menerima hujan sedikit bawah purata di antara 100 mm hingga 250 mm kecuali di Bintulu. Sebahagian besar di kawasan Kapit, Belaga, Miri dan Limbang dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 150 mm hingga 350 mm. Manakala bagi negeri Sabarh dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangkakan menerima huja pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm,” katanya.
Menurut beliau, pada bulan November tahun ini, negara dijangka memasuki fasa Monsun Timur Laut dan akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam.
“Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta kawasan di Barat Sarawak,” katanya. – UTUSAN











