Graduan TVET perlu selari keperluan industri

Graduan TVET perlu selari keperluan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketidaksepadanan kemahiran lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri dilihat menyukarkan cadangan supaya gaji bidang ber­kenaan dapat dinaikkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, isu gaji bukan penyebab utama untuk belia memilih TVET sebagai pilihan kerjaya masa de­pan kerana bidang tersebut menjanjikan peluang kerja.

Bagaimanapun, katanya, sejauh mana anak muda lulusan golongan itu diberikan latihan seiring dengan perkembangan teknologi menjadi cabaran dalam industri TVET kerana isu ketidaksepadanan sudah merebak kepada belia berkemahiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau dulu industri bising graduan universiti tidak menepati keperluan industri, tetapi kini ia sudah merebak dalam bidang TVET.

“(Ini disebabkan) Industri ber­gerak pantas, manakala institusi (TVET) tidak disediakan kemudahan terkini.

“Industri tidak ada halangan untuk beri gaji besar, tetapi isu besar graduan sekarang yang dilahirkan, kemahiran itu sedikit jauh dengan keperluan industri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji lulusan TVET perlu ditingkatkan antara RM2,500 hingga RM3,000 supaya lebih ramai terlibat dalam bidang itu.

Menurut Perdana Menteri, gaji lulusan tersebut ketika ini antara RM1,800 hingga RM2,000 dianggap lebih rendah daripada lulusan diploma dan universiti menyebabkan pelajar menjadi tidak bersemangat ketika meneruskan pengajian dalam jurusan tersebut meskipun jumlah pelajar yang mengikuti jurusan berkenaan ramai ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata, kerajaan sepatut­nya lebih memberi fokus kepada isu berkaitan ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ serta penambahbaikan kemudahan di institusi.

“Kalau kemudahan di institusi lengkap, maka graduan TVET yang dilahirkan itu benar-benar menepati keperluan industri.

“Sekarang ini industri risau dan tidak mahu lagi senario jurang kemahiran itu semakin membesar, jadi kerajaan perlu lihat kemudahan latihan sedia ada yang sudah ketinggalan zaman.

Dari segi modul mungkin boleh dibangunkan, tetapi peralatan itu penting. Sebab itu penting­nya kerajaan melihat (keperluan) menaik traf alat latihan mengajar supaya dapat melahirkan pelajar yang kompeten,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, cadangan peningkatan gaji perlu dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua bidang di negara ini dan bukan hanya tertumpu kepada lulusan TVET.

“Misalnya gaji minimum, tidak boleh wujudkan untuk bidang tertentu sahaja. Jadi sama juga peningkatan gaji bukan tumpu kepada bidang TVET sahaja, mesti menyeluruh.

“Semua ini perlu ada satu mekanisme. Tetapi mekanisme itu perlu dibincangkan bagaimana ia mahu dilaksanakan tanpa meninggalkan lepasan dalam bidang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini