GEORGE TOWN: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yakin mencapai kemenangan lebih dua pertiga dalam pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang melihat gelombang Perikatan Nasional (PN) yang digembar-gembur oleh banyak pihak dalam PRN ini sudah mengendur.
Meskipun mengakui PN berjaya mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk merampas tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang, katanya, banyak perubahan berlaku dalam politik dan pentadbiran negara dalam tempoh PRU sehingga kini.
Antaranya kata beliau, berkenaan kerjasama yang terbentuk antara PH dan BN yang mana kedua-dua parti tersebut buat pertama kali akan bergabung dan menentang PN berbanding menentang sesama sendiri (tiga penjuru) dalam PRU15.
“Dengan perubahan yang berlaku yang mana terbentuknya Kerajaan Perpaduan gabungan PH-BN kini, maka ada penstrukturan semula dari segi rakan-rakan dalam gabungan politik. Dahulu lawan sekarang kawan, dahulu kawan sekarang lawan.
“Itulah senario baharu negara dan kita bergantung kepada perubahan ini untuk menghasilkan sokongan kepada gabungan PH-BN yang semestinya akan merapatkan jurang dengan PH sekiranya masih ada,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri turut menyasarkan PH yang akan bertanding dengan gabungan BN di negeri ini mampu capai kemenangan di 30 hingga 32 kerusi DUN.
Beliau melihat pencapaian itu adalah sesuatu yang boleh dianggap baik berdasarkan senario politik semasa meskipun berkurangan berbanding 37 kerusi yang dimenangi PH di Pulau Pinang dalam PRU14.
“Saya anggap pencapaian (sasaran) ini adalah baik sebab ia sebenarnya berbalik kepada keadaaan pada PRU 2008 dan 2013. Sebab pada 2018 ia adalah PRU yang luar biasa.
“Tidak mungkin kita boleh capai balik paras sokongan seperti ketika itu. Itu keadaan pada penilaian saya sekarang. Sebab kita lihat pembangkang walaupun mereka yakin di negeri-negeri lain, tetapi di Pulau Pinang keyakinan mereka terbatas kepada 20 kerusi DUN. Itu pun mereka tidak yakin sangat,” katanya.
Mengenai keyakinan penyokong PH mengundi calon BN, Kon Yeow berkata, tempoh berkempen PRN adalah penting untuk kedua-dua parti meyakinkan penyokong masing-masing untuk mengundi antara satu sama lain.
“Bagaimana kita akan membawa apa yang ada, apa yang sudah berlaku serta cabaran dan harapan negara yang kita boleh bawa, dapat tangani dan tenggelamkan kerisauan penyokong berkenaan situasi mereka yang perlu mengundi parti lain.
“Jadi mereka perlu melihat kepada gambaran yang lebih besar (bigger picture), lihat ke hadapan berkenaan harapan yang kita mahu berikan kepada rakyat, maka kalau dalam keadaan dan pertimbangan seperti itu, walau bagaimana susah sekali pun mereka mahu pangkah (logo BN), kena pangkahlah,” katanya. – UTUSAN










