KUALA LUMPUR: Parti-parti politik diingatkan tidak menjadikan tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bermula semalam hingga 11 Ogos ini sebagai medan membalas dendam dan sebar fitnah.
Sebaliknya, tempoh itu wajar dimanfaatkan untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat, kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, ini kerana terdapat ahli parti politik terlalu ghairah dalam meraih undi sehingga melampaui batas dengan memanipulasi beberapa fakta di media sosial khususnya TikTok.
Menurutnya, tindakan seperti itu akan memberi kesan kepada pengundi yang tidak mempunyai maklumat kerana terpedaya dengan fakta-fakta tidak tepat dan akhirnya memilih wakil rakyat yang salah.
“Kempen pilihan raya ini murni, ia memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat tetapi calon diingatkan supaya tidak menggunakan pentas pilihan raya untuk lepas geram dan cetuskan permusuhan, itu tidak bagus untuk jangka panjang. Parti politik seharusnya lebih bertanggungjawab, lebih matang dan sedar akan pilihan raya bukan untuk pecah belahkan antara kaum dan sebagainya.
“Ada sesetengah parti politik yang berkempen di luar batasan, ada yang sentuh beberapa isu sensitif di media sosial TikTok, sebarkan fitnah dan maklumat separuh siap.
“Jadi ia berbahaya kepada pengundi yang tidak bermaklumat, mereka akan berpegang kepada maklumat yang salah, timbul kebencian, mungkin marah kepada raja, ia boleh membangkitkan semangat menentang kedaulatan raja-raja. Sebab itu parti politik jangan terlalu celupar dan lupa pada batasan,” kata beliau.
Kata Wan Ahmad, ahli atau parti politik yang mengambil bahagian pada PRN ini mempunyai banyak perkara lain yang boleh disampaikan seperti membincangkan mengenai kos sara hidup akibat kenaikan harga barang, pengangguran dan hak-hak rakyat yang mungkin semakin terjejas akibat kebanjiran warga asing.
Menurut beliau, isu-isu terbabit harus didedahkan kepada rakyat dan dari situ rakyat mempunyai perspektif parti atau wakil rakyat mana harus dipilih untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan mereka.
“Kempen-kempen seperti yang rakyat patut tahu dan itulah juga tujuan pilihan raya dan akhirnya perkara itu semua akan dinilai di peti undi,” katanya.
Dalam hal ini, kata Wan Ahmad, setiap parti politik perlu ada kematangan ketika berkempen kerana tempoh sehingga 11 Ogos ini turut dikawal undang-undang di bawah SPR.
Maknanya, sebarang tindakan yang melanggar undang-undang di bawah SPR boleh diambil tindakan terhadap calon jika terbukti melanggar kesalahan.
“Balik kepada tujuan asal, kempen pilihan raya ini adalah tujuannya untuk memperkenalkan calon yang bertanding kepada pengundi dalam kawasan yang mereka tandingi. Selain itu, calon juga boleh menjelaskan kaedah, rancangan dan agenda yang akan dibawa jika dipilih pengundi untuk menjadi wakil rakyat.
“Dan cara berkempen ini ada macam-macam cara, melalui kempen media sosial, menggunakan media cetak, elektronik, berjumpa dengan pengundi dari rumah ke rumah dan sebagainya. Dalam rapat umum, ceramah atas pentas dan pelbagai cara yang boleh digunakan, gunakan dengan sebaiknya,” katanya.
Menurut Wan Ahmad, terdapat beberapa kesalahan ketara yang termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terutama perkara ke empat di bawah Perlembagaan yang tidak membenarkan mana-mana pihak menyentuh sistem beraja dalam negara.
Selain itu, perkara yang melibatkan sogokan kepada pengundi juga adalah dilarang dalam tempoh berkempen.
“Dalam sistem pilihan raya, pembatalan boleh dibuat melalui petisyen yang difailkan sesiapa sahaja selepas keputusan pilihan raya.
“Sesiapa yang tidak berpuas hati dengan apa sebab sekalipun, dan bersekali dengan buktinya, boleh failkan petisyen pilihan raya di bawah peruntukan Perlembagaan perkara 118,” kata beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib turut mengingatkan setiap parti politik tidak tersasar daripada tujuan asal dalam tempoh berkempen dan tidak menyentuh perkara yang berkaitan sensitiviti kaum.
“Berkempen harus menjaga adab dan adat serta prihatin dengan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai etnik. Berkempen dengan berhemah dan galurkan agenda untuk mengurus negara sesuai dengan keupayaan dan kapasiti agar tidak dilihat berjanji manis bermimpi disiang hari.
“Fokus kempen harus memberi tumpuan kepada mencipta peluang pekerjaan, memikirkan semula pelaksanaan GST secara berperingkat, memikirkan sumber kewangan baharu melalui pengurusan sumber manusia (tenaga buruh dari luar) pengenalan sistem percukaian dengan manfaat akses perkhidmatan awam setara dan sumber membantu golongan rentan yang lebih sustainable,” ujarnya.
PRN kali ini melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan dan SPR menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian.
Tempoh berkempen ditetapkan SPR 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos. Tarikh pengundian awal pula adalah 8 Ogos. – UTUSAN










