BN tanding lebih 100 kerusi di enam negeri

PRN: BN tanding lebih 100 kerusi di enam negeri

AHMAD Zahid Hamidi berucap ketika Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal, Terengganu. - MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding 45 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 245 kawasan di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, baki 55 peratus lagi kerusi DUN ditandingi Pakatan Harapan (PH).

Katanya, agihan kawasan yang ditetapkan itu berdasarkan kepada kerusi yang dimenangi BN dan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, berdasarkan peratusan tersebut, BN dijangka bertanding di lebih 100 kerusi DUN.

“Maka itu sebabnya peratusan itu lebih kepada parti-parti di dalam komponen PH dalam enam negeri itu,” katanya selepas majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk, Kijal di sini, semalam.

Yang hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, setiap calon parti itu menjalani proses saringan termasuk mereka yang boleh menang, selain menerusi penelitian di peringkat Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Mahkamah Syariah.

“Kita akan lakukan saringan dari segi boleh menang, boleh diterima dan bagaimana pengundi beri sokongan kepada calon-calon. Apabila senarai pendek dibuat, kita akan buat juga saringan kesihatan bagi menentukan setiap calon bersih dari segi lahiriah, fizikal dan mempunyai tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi BN berkata, keputusan pembahagian kerusi antara BN dan PH akan dimuktamadkan minggu depan.

“Sebanyak sembilan kerusi yang bertindih di sembilan DUN di negeri-negeri terlibat sebelum ini juga dapat diselesaikan,” tambahnya.

Enam negeri yang mengadakan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid mengingatkan pengundi Terengganu supaya tidak tertipu dengan muslihat politik Pas yang menggunakan agama untuk kepentingan politik pada PRN nanti.

Kata beliau, pemimpin Pas selama ini menggunakan ayat dan terjemahan al-Quran serta hadis yang sama tetapi taksiran berbeza-beza mengikut masa untuk kepentingan politik.

“Orang (pengundi) Terengganu, ditipu cukuplah kali ini. Sama ada orang UMNO, PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara), kita ketepikan perbezaan dalam kalangan kita dan kali ini kita ambil alih negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, BN tidak seperti Pas kerana lebih menumpukan kepada ‘politik pembangunan’ untuk kesejahteraan rakyat.

“Apa yang kita buat selama ini bertumpu kepada politik pembangunan. Tapi puak sana (Pas) politik penipuan. Akhirnya penipuan yang dirancang itu jadi kemenangan, pembangunan yang kita buat orang lupakan. Itulah hakikatnya.

“Tak sukar nak menang kalau bijaksana. Tapi kalau hanya ikut gelombang mereka, dan ikut apa yang mereka buat, saya fikir apa yang Tok Mat Said (Ahmad Said) kata Terengganu akan jadi macam Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, rakyat khususnya golongan muda perlu membaca sejarah dan pengorbanan dan pelbagai usaha yang dilakukan UMNO dan kerajaan BN selama ini.

“Bagaimanapun, semua itu dilupa oleh rakyat dan diketepikan oleh pengundi muda kerana mereka telah terpengaruh dengan politik yang penuh dengan penipuan dan muslihat itu.

“Mereka cepat lupa dengan semua pembangunan yang ada ketika ini adalah daripada usaha, pengorbanan fizikal,wang ringgit dan tenaga yang dilakukan BN,” katanya. – MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×