PETALING JAYA: Beza daging import dari India hanya sekitar 20 sen sekilogram berbanding daging dari Pakistan, namun kerugian ditanggung syarikat tempatan yang mengimport makanan ruminan dari negara Islam memaksa ‘gulung tikar’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Nordin Mat berkata, syarikat tempatan pernah mengimport daging dari Pakistan dalam usaha mengelak pergantungan bekalan daripada satu negara sahaja namun tidak berjaya.
Jelasnya, walaupun perbezaan daging import dari India dengan Pakistan hanyalah 20 sen namun pelbagai kos ditanggung seperti kos import setiap kontena dan sebagainya menyebabkan syarikat pengimport makanan ruminan dari negara Islam tersebut tidak peroleh keuntungan.
“Bayangkan keuntungan mengimport daging dari India hanyalah sekitar RM5,000 ke RM10,000 sahaja bagi setiap kontena yang dibawa masuk, jadi dengan perbezaan 20 sen setiap kilogram daging dari Pakistan menyebabkan pengimport tidak memperoleh keuntungan.
“Bukan tak pernah ada syarikat yang mengimport daging dari Pakistan..ada, tetapi terpaksa gulung tikar kerana menanggung kerugian,” katanya.
Akhbar ini, melaporkan bahawa kerajaan harus membuka pasaran daging import supaya memberi lebih pilihan kepada pengguna selain mengelak kebergantungan bekalan daripada satu negara sahaja.
Langkah itu selain dapat menstabil dan menjamin bekalan berterusan, juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat dari segi harga daging import.
Antara negara yang dikatakan mampu membekalkan daging halal ke Malaysia secara konsisten adalah Pakistan. Ini dibuktikan dengan nilai eksport kira-kira AS$250 juta ke lapan negara termasuk enam negara dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Vietnam dan Afghanistan.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, beliau bersetuju jika kerajaan mahu memperluaskan negara pengeksport daging ke negara lain namun perlulah mencari negara sumber yang dapat membekalkan makanan ruminan tersebut dengan harga jauh lebih rendah dari India.
“Saya ada mendapat maklumat bahawa daging dari Bolivia jauh lebih rendah harganya berbanding India namun difahamkan negara tersebut tidak mendapat pengesahan sijil halal daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia).
“Jika harga bekalannya lebih mahal dari India susah untuk mereka bersaing di pasaran negara,” katanya.
Beliau pada masa sama juga mengakui bahawa hanya terdapat satu syarikat tunggal yang ketika ini memonopoli pasaran import daging dari India di negara kerana perniagaan tersebut tidak banyak diterokai oleh syarikat tempatan.
“Bukanlah memonopoli sebelum ini ada juga syarikat lain yang turut mengimport daging tapi mereka tidak boleh bertahan lama dan syarikat tunggal yang wujud ketika ini sudah lama dalam pasaran makanan ruminan berkenaan,” katanya. – UTUSAN











