Benteng bukan atas tanah persendirian - Pekebun

Benteng bukan atas tanah persendirian – Pekebun

KHALID Kader (kiri) dan Mazlan Ithnin (dua dari kiri) serta beberapa petani menunjukkan batu sempadan yang terletak kira-kira 12 meter dari benteng penghalang air masin dibina JPS Batu Pahat di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Benteng kira-kira empat kilometer di Tanjung Labuh yang berfungsi menghalang kemasukan air masin ke dalam kawasan kebun petani di Kampung Kelicap dan Sungai Suluh, di sini tidak dibina di atas tanah persendirian.

Para pekebun mendakwa, batu sempadan terletak kira-kira 12 meter dari benteng dan jauh dari kebun yang diusahakan mereka.

Seorang pekebun, Mazlan Ithnin, 55, berkata, dia terkejut dengan kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat bahawa benteng penghalang air masin di kebun mereka dibina atas tanah persendirian sehingga menyebabkan kesukaran mendapatkan peruntukan untuk membina benteng kekal.

Katanya, perancangan JPS untuk membaiki benteng yang pecah menggunakan pokok bakau dan geotekstil amat sesuai dan berharap dapat dibina secara keseluruhan sepanjang empat kilometer, bukannya di kawasan tertentu sahaja.

“Jka dibina di kawasan yang pecah sahaja, dibimbangi berlaku runtuhan di tempat lain dan menyebabkan masalah kemasukan air masin ke dalam kebun tidak selesai.

“Bagi kami biarlah kerja pembaikan ini dilakukan hanya sekali kerana jika dilakukan secara berulang kali tidak menyelesaikan secara total masalah dihadapi petani sejak enam tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Para pekebun di dua kampung tersebut sangat berharap ada pihak yang dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi agar kegemilangan penghasilan buah kelapa di kawasan ini dikembalikan seperti sebelum 2018.

Khalid Kader, 65, pula berkata, kira-kira 80 pekebun di dua kampung tersebut berharap masalah berkenaan diatasi segera kerana menjejaskan hasil pertanian mereka.

“Penduduk sangat merindui zaman sebelum masalah kemasukan air masin berlaku di Tanjung Labuh ini. Ketika itu petani boleh tersenyum lebar apabila mampu meraih pendapatan agak lumayan setiap bulan, namun kini hanya linangan air mata selepas melihat satu persatu tanaman mati serta tidak menghasilkan buah,” katanya dalam nada sedih.

Pada 4 Julai lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 80 petani di Kampung Kelicap dan Sungai Suluh kerugian jutaan ringgit selepas tanaman kelapa mereka mati serta tidak mengeluarkan hasil akibat terendam air masin ekoran benteng penghadang yang pecah dan tidak dibaiki sejak enam tahun lalu.

Pada 5 Julai, JPS Batu Pahat menyatakan benteng dibina atas tanah petani menyebabkan usaha mendapatkan peruntukan membina benteng kekal berdepan kesukaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×