PETALING JAYA: Kerajaan disaran untuk membantu majikan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai usaha menangani isu miskin selepas bersara susulan Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030 nanti.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan mesti membantu untuk membina perniagaan kerana tanpa mereka tiada pekerja.
Ini kerana, katanya, semua pihak mesti sentiasa melihat isu daripada kaca mata PMKS dan bukan daripada sudut pandang syarikat multinasional antarabangsa (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat besar.
“PMKS membentuk lebih 98 peratus daripada semua perniagaan di Malaysia dan daripada jumlah tersebut terdapat lebih 650,000 perusahaan mikro. MEF menggesa kerajaan untuk menumpukan usaha membantu PMKS terutamanya perusahaan mikro untuk bangkit dan membantu mereka mengekalkan perniagaan melalui tahun 2023 yang sangat mencabar
“Kerajaan hendaklah terus menyokong usaha PMKS untuk berinovasi, menambah baik proses perniagaan dan pendigitalan, dan berkembang ke pasaran baharu. Insentif cukai perlu dipertingkatkan kepada PMKS yang menggunakan teknologi canggih untuk memastikan daya saing dan peningkatan produktiviti mereka
“Campur tangan dasar oleh kerajaan perlu terutamanya menangani cabaran jangka pendek, menyokong kecairan jangka pendek dan menyediakan pembiayaan terutamanya untuk PMKS, serta menyediakan syarat dan insentif yang sesuai untuk membina perniagaan yang inovatif,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah drastik yang perlu diambil bagi menangani isu miskin selepas bersara.
Ini berikutan Malaysia dilaporkan bakal menjadi negara tua menjelang 2030 apabila 15 peratus daripada penduduk Malaysia pada 2030 dianggarkan melebihi usia 60 tahun.
Pada masa sama, sejumlah 70 peratus daripada 8.7 juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan selepas mereka bersara.
Setakat Mei 2023 hanya 30 peratus pencarum KWSP yang mencapai simpanan asas mengikut umur 55 tahun iaitu RM240,000.
Mengulas lanjut, Dr. Syed Hussain berkata, isu sebenar bukan terletak dalam simpanan KWSP, tetapi dengan cara simpanan berkenaan diuruskan.
Katanya, ini kerana begitu banyak pengeluaran daripada simpanan persaraan KWSP sudah dilakukan sehingga hampir tiada simpanan untuk kebanyakan ahli KWSP.
“KWSP adalah simpanan persaraan dan pengeluaran hendaklah dibenarkan hanya apabila pencarum mencapai umur persaraan. Sekiranya peraturan sedemikian dilaksanakan dengan tegas maka sasaran setiap pencarum mempunyai sekurang-kurangnya RM 300,000 dalam akaun KWSP boleh tercapai.
“Langkah drastik perlu diambil untuk menghentikan sebarang pengeluaran KWSP dan kerajaan mesti melihat cara lain di mana kerajaan boleh menyumbang kepada simpanan persaraan rakyat. Ini adalah tanggungjawab kolektif pekerja majikan dan kerajaan,” ujarnya.
Tambah beliau, isu yang lebih kritikal adalah bagaimana untuk mengurangkan kesusahan rakyat yang menyebabkan mereka menggunakan simpanan persaraan di KWSP disebabkan kos sara hidup terlalu tinggi.
“(Oleh itu), lebih banyak langkah perlu diambil untuk mengurangkan kos sara hidup supaya rakyat dapat hidup dengan pendapatan yang mereka perolehi. Jika tidak, jumlah simpanan KWSP tidak akan mencukupi,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, kajian gaji progresif perlu dipercepatkan supaya dapat menangani isu miskin selepas bersara dalam kalangan pekerja.
Katanya, ini kerana sekiranya pekerja mendapat pendapatan dalam tahap yang sama, maka ia tidak memberi makna apa-apa kepada caruman mereka selepas bersara nanti.
“Sebab apabila pendapatan meningkat, maka caruman KWSP akan meningkat.
“Jadi, dalam soal pekerja, apa yang penting adalah pendapatan pekerja, keselamatan sosial dan simpanan persaraan.
“Ketiga-tiga perkara itu perlu dilihat bagaimana untuk diperbaharui dan dimantapkan supaya diselaraskan untuk membantu semasa bekerja dan selepas bekerja,” katanya. – UTUSAN











