Ahli Dewan Diraja Selangor gesa Sanusi mohon maaf - Utusan Malaysia

Ahli Dewan Diraja Selangor gesa Sanusi mohon maaf

Dewan Diraja
EMRAN Kadir (tengah) dan empat Ahli Dewan Diraja Selangor menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor

Gesaan itu dibuat lima ahlinya iaitu, Tan Sri Ambrin Buang; Datuk Emran Kadir; Datuk Mohammad Adzib Mohd. Isa; Tan Sri Mohd. Zawawi Saleh dan Datuk Seri Mohammed Khusrin Munawi yang hadir ke Balai Polis Seksyen 6, di sini, semalam.

Emran berkata, kenyataan Muhammad Sanusi disifatkan satu penghinaan kepada institusi Diraja Selangor kerana melibatkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang seolah-olah tidak wajar atau tepat.

“Justeru itu, keputusan baginda adalah tepat dan tidak boleh dipersoalkan oleh beliau (Sanusi). Kenyataan itu seperti Menteri Besar yang dilantik baginda tidak layak sekali gus menghina institusi Diraja Selangor dan beliau perlu segera memohon maaf secara terbuka,” katanya ketika ditemui 

Beliau menambah, Sultan Selangor boleh melantik sesiapa sahaja menjadi Menteri Besar asalkan pemimpin itu mendapat majoriti tertinggi undi dan mengikuti Perlembagaan.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri memaklumkan ramai pihak akan tampil membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi dan meminta pimpinan Perikatan Nasional (PN) serta penyokongnya perlu menilai semula dan menginsafi kesilapan tersebut.

Menteri Besar Kedah itu dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor selain meremehkan pelantikan Amirudin.

Jumaat lalu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN turut dilaporkan yakin negeri diterajuinya mampu menjadi paling maju jika berada berdekatan Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya kerana pemerintahan yang bijak.

Tambah Emran, pihaknya mahu Muhammad Sanusi membuat permohonan terbuka kerana kenyataan dibuat itu juga secara terbuka.

“Beliau boleh membuat kenyataan apa-apa namun bukannya berkaitan institusi Diraja negeri lain. Kami mahu dia memohon maaf secepat mungkin kerana perkara ini sudah tersebar luas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta polis supaya menjalankan siasatan tegas dan terperinci dengan peruntukan undang-undang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya