Hina Sultan Selangor, ramai akan lapor polis - Amirudin - Utusan Malaysia

Hina Sultan Selangor, ramai akan lapor polis – Amirudin

Sultan Selangor
AMIRUDIN Shari bersama Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada Jelajah Madani di DUN Bukit Malawati, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan ramai pihak akan tampil membuat laporan polis terhadap kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu, pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan penyokong-penyokongnya perlu menilai semula kenyataan dibuat Muhammad Sanusi serta menginsafi kesilapan tersebut yang disifatkan sebagai melanggar etika berkempen.

“Ada laporan polis saya rasa akan dibuat oleh beberapa orang teruskan laporan itu dibuat. Itu menunjukkan sikap munafik mereka terutama bila bercakap tentang isu Melayu. 

“Tetapi, selalu dan berulang kali melanggar bukan sahaja disiplin berkempen, tetapi terma dan juga adab dengan sultan atau Raja-Raja Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jelajah Madani, hari ini.

Menteri Besar ‘cokia’

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu dalam ceramahnya baru-baru ini membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin menjadi Menteri Besar Selangor yang dilabelnya sebagai ‘cokia’

“Sultan Kedah sampai sekarang dari satu susur galur tak pernah putus, itulah Kedah Darul Aman, hebatnya Sultan Kedah begitu teratur, bukan ‘koman-koman’, tengok Menteri Besar (Kedah).

“Sultan hebat macam itu (Kedah) tak akan pilih Menteri Besar cokia macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucapnya.

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya pada program jelajah berkenaan menempelak Muhammad Sanusi apabila bersifat kurang ajar terhadap Raja-Raja Melayu selain menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Jelasnya, Muhammad Sanusi seperti tiada modal lain untuk berkempen apabila tiada hujah fakta dan data untuk dikemukakan bagi menyangkal segala kemakmuran dan kejayaan dicapai PH di Selangor.

“Otak dia bukan dekat lutut, tetapi tapak kaki, dia berhujah sembarangan sebab tak ada angka, tak boleh buktikan, tak ada data, lalu sebut juga dalam serangan ‘bolehlah rizab besar, ada simpanan’. Sanusi tak boleh jawab fakta, dia buat cerekarama. 

“Semalam saya cukup tersentuh dan bersedih, dia hina pula Sultan Selangor kononnya tak macam Sultan Kedah, ini kita di Kuala Selangor tempat asal Selangor di sinilah kelahiran Sultan Ibrahim yang popular di Bukit Malawati dan tempat ini kita berpayung di bawah Negeri Selangor.

“Hei Sanusi jangan kurang ajar, orang Selangor akan ajar kamu, ajar PN dalam pilihan raya akan datang,” ucapnya.

Serah kepada pihak berkuasa

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam ucapannya pada program sama memaklumkan beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Muhammad Sanusi.

Saya tak boleh terima, dia tegur saya, dia ejek… Sanusi dengan puak-puak macma ini, tak boleh bercakap tentang fakta, it seems like we cannot talk facts with some kind of these people

Mereka hanya tahu menghina, mencerca, mengherdik, memaki hamun sampaikan Sultan Selangor pun Sanusi sedia hendak ejek. Sanusi…kamu boleh cakap macam-macam, kamu boleh mengata, caci kami boleh, tetapi kalau mula sentuh pasal 3R, kamu biadab. Kita serah kepada pihak berkuasa,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN