PETALING JAYA: Kerajaan harus mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh berkepentingan tentang cadangan agar sebahagian simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditukar kepada pendapatan bulanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, MTUC tidak mahu cadangan itu dijadikan sebagai mandatori selagi libat urus belum dibuat.
“Cadangan ini baru sekadar berbentuk cadangan dan pandangan. Sebab pihak-pihak yang berkepentingan masih tidak dibawa untuk berbincang. Namun jika kita mahu ke arah tersebut, kita harus memperhalusi semua sudut sebab ada pro dan kontra dalam cadangan itu.
“Bagi MTUC, kita perlu duduk (berbincang) dahulu dengan pihak berwajib dan perlu dibincangkan secara mendalam, apakah baik atau buruknya jika wang persaraan KWSP itu dikeluarkan secara ansuran atau penuh. Kita tidak mahu ia jadi mandatori selagi belum dibincangkan,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP mencadangkan hanya sebahagian daripada simpanan ahlinya akan ditukar kepada pendapatan bulanan manakala baki selebihnya boleh dikeluarkan secara penuh.
Kenyataan itu susulan KWSP dilaporkan bercadang memperkenalkan pilihan pengeluaran bulanan untuk ahli KWSP.
Mengulas perkara itu, Mohd. Effendy berkata, sepatutnya wang simpanan pencarum haruslah dipulangkan kepada pencarum semula selepas mereka bersara.
“Sebab mereka yang tahu bagaimana mereka mahu gunakan wang itu. Kita tak boleh menetapkan keperluan pencarum itu. Kadang-kadang ada pencarum yang mahu (pengeluaran secara penuh), ada pula tak mahu.
“Jadi bagi saya, jika mahu dimandatorikan, tak adil juga. Tapi jika tidak dimandatorikan pun, tak adil juga. Jadi ia perlu diperhalusi secara bersama. Dan perlu letakkan kebijaksanaan kepada pencarum apakah perancangan mereka selepas bersara,” katanya.
Mohd. Effendy berkata, setakat ini masih belum ada kertas kerja yang dibentangkan mana-mana pihak, termasuk dalam Kabinet mahupun di pihak KWSP sebelum cadangan itu diusulkan. – UTUSAN










