70 peratus pencarum KWSP tiada simpanan mencukupi

70 peratus pencarum KWSP tiada simpanan mencukupi

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap lebih ramai pencarum yang akan bersara memilih pengeluaran secara berkala berbanding mengeluarkan sekali gus simpanan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah 70 peratus daripada 8.7 juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempu­nyai simpanan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan selepas mereka bersara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, minimum simpanan yang diperlukan untuk hidup dalam tempoh 20 tahun selepas bersara dengan anggaran perbelanjaan RM1,000 sebulan adalah RM240,000.

Namun katanya, setakat Mei 2023 hanya 30 peratus pencarum KWSP yang mencapai simpanan asas mengikut umur 55 tahun iaitu RM240,000.

Katanya, bagi jumlah keseluruhan 15.8 juta ahli pula, hanya 18 peratus memenuhi sasaran.

Ujarnya, penanda aras yang digunakan pengurus dana persaraan itu bagi menentukan simpanan asas dicapai mengikut umur ialah RM240,000, yang menjadi paras sasaran apabila mencapai umur 55 tahun iaitu jumlah RM1,000 sebulan dalam tempoh persaraan selama 20 tahun.

“Ketidakcukupan simpanan persaraan ini adalah sesuatu yang membimbangkan dan mem­buktikan (masalah) asas dari segi sumbangan seperti struktur gaji rendah, ketidakpadanan atau salah jajaran antara usia pengeluaran penuh dan usia persaraan, caruman tidak konsisten dan kekurangan pekerjaan selain tahap celik kewangan yang rendah.

“Memandangkan keahlian KWSP kini mencecah 15.8 juta orang, kami berusaha untuk melaksanakan strategi jangka panjang bagi mewujudkan impak positif serta memupuk aspek kesejahteraan, ter­utama dalam kalangan warga emas” katanya dalam ucapan pe­rasmian di Persidangan Ke­sejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 (ISWC 2023) di sini, semalam.

Pada 11 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat 31 Di­sember 2022, hanya 19 peratus daripada ahli KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur bagi membolehkan mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun.

Katanya, ini secara langsung menunjukkan bahawa 81 peratus ahli berusia 55 tahun dan ke bawah berada dalam situa­si yang serius di mana jumlah simpanan mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Menurut Amir Hamzah, disebabkan hanya 56 peratus daripada 16.7 juta tenaga kerja Malaysia mempunyai beberapa bentuk perlindungan sosial formal, KWSP telah memanfaatkan unit bergerak bagi menjangkau tujuh juta orang dalam sektor tidak formal dan bekerja sendiri yang berpotensi menjadi ahli KWSP.

“Kami turut meninjau kaedah pendekatan lain, termasuk pilihan pengeluaran pendapatan untuk mengukuhkan tawaran kepada ahli dengan sumber pendapatan tambahan bagi persaraan.

“Selain itu, KWSP juga sedang giat meneliti aspek Tonggak 1 Rangka Kerja Pendapatan Pelbagai Peringkat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menerusi usaha memperkenalkan caruman wajib persaraan kebangsaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, Malaysia perlu melaksa­nakan satu sistem perlindu­ngan sosial yang lebih inklusif kerana mekanisme sedia ada tidak memadai dengan hanya 9.1 peratus penerima manfaat perlindungan berbanding purata 55.1 peratus di peringkat Asia dan 12.8 peratus di tahap glo­bal.

“Ia terbukti apabila kebergantungan warga emas juga meningkat daripada setiap 10 dewasa yang bekerja perlu menyara seorang warga emas pada 2020 kepada tiga orang dewasa bekerja pada 2050.

“Perubahan itu perlu dibuat sekarang memandangkan kala­ngan penduduk Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas kini semakin bertambah berbanding kumpulan umur lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN