SEPANG: Kira-kira 50,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan mendapat manfaat daripada sistem e-kredit tiket penerbangan yang akan diperkenalkan pada bulan depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sistem yang sedang dibangunkan bersama syarikat penerbangan itu bakal memudahkan pelajar terlibat untuk pulang ke kampung pada musim perayaan dan cuti semester dengan harga tiket yang berpatutan..
Menurut beliau, pihaknya merancang satu insentif untuk memberikan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar IPTA dari Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung dan sebaliknya.
“Mereka akan menerima satu bentuk e-kredit yang akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing untuk pembelian tiket kapal terbang dan jika syarikat penerbangan ada menawarkan diskaun, ia juga lebih berbaloi.
“Walaupun jumlahnya tidak banyak, bantuan itu satu langkah permulaan untuk meringankan beban pelajar pulang ke kampung semasa perayaan dan cuti semester,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laluan penerbangan baharu syarikat penerbangan tambang murah MyAirlines ke Bangkok, Thailand di sini, semalam.
Anthony berkata, kira-kira 50,000 pelajar IPTA terutamanya dalam keluarga B40 bakal menikmati manfaat tersebut.
Sementara itu, ditanya mengenai jumlah e-kredit bakal ditawarkan kepada pelajar IPTA, beliau berkata, pihaknya masih membuat perancangan berhubung perkara tersebut dan akan mengumumkannya kelak.
“Ia ada melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan, tetapi inisiatif itu kita boleh buat sebab ada simpanan dalaman daripada Kementerian Pengangkutan.
“Ada satu perbelanjaan yang kita tidak perlu belanja tahun ini dan dapat pindahkannya untuk inisiatif berkenaan selain menerima dana daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN










