PETALING JAYA: Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) mendakwa terdapat kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) memonopoli premis-premis perniagaan dengan menjadi orang tengah sehingga memberi tekanan pada peniaga yang menyewa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua PKPKL, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa pekerja PBT sendiri mempunyai banyak kedai yang nama pemilik diletakkan nama-nama ahli keluarga terdekat.
Menurut beliau, tindakan tersebut bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan berlebih-lebihan daripada peniaga dengan menaikkan sewa.
“Individu ini bekerja dengan PBT dan beliau guna ahli-ahli keluarganya untuk dapatkan premis-premis di bawah penguatkuasaan badan tersebut lalu menyewakan semula pada peniaga dengan harga yang tinggi.
“Jadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melihat perkara ini, mereka kena turun padang dan melakukan siasatan kepada peniaga-peniaga sama ada premis itu mereka sewa secara terus pada PBT atau ada orang tengah.
“Apabila ada orang tengah ni, peniaga terpaksa menanggung kos perniagaan yang tinggi jadi kesannya pada harga jualan mereka. Jadi perlunya hapuskan sistem ‘Ali Baba’ ni secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, hampir semua peniaga di seluruh negara berdepan cabaran apabila jumlah pelanggan kedai makan merosot antara 30 hingga 60 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini
Tinjauan Utusan Malaysia di Selangor, Pahang, Johor dan Perlis mendapati ramai yang mengeluh dan mendakwa mereka terpaksa mengurangkan kuantiti masakan bagi mengelakkan juadah tidak habis dan menambahkan lagi kerugian.
Perkara itu didakwa berpunca daripada pelanggan yang mengambil langkah berjimat ketika berdepan kos sara hidup yang meningkat.
Mengulas mengenai laporan tersebut, Samsudin Mohamad berkata, situasi ini bukan disebabkan keadaan ekonomi semata-mata tetapi lebih kepada pengguna mula sedar terdapat peniaga menaikkan harga jualan dengan melampau.
Jelasnya, perkara tersebut menyebabkan pengguna menggunakan kuasa mereka untuk memberi tekanan kepada peniaga supaya menurunkan harga jualan.
“Kebanyakan peniaga mengambil kesempatan dengan meletakan harga barangan atau makanan melampau-lampau dengan alasan harga barang mentah naik, sedangkan ia naik per kilogram (kg) tetapi makanan pula mengikut setiap lauk atau potongan
“Seperti nasi kosong sahaja boleh capai RM3 dan jika tambah sambal atau kuah sedikit jadi RM4 sedangkan beras 10 KG baru berapa serta boleh dimakan berpuluh orang. Kadang-kadang kita perlu ajar peniaga ni juga,” katanya. – UTUSAN











