Saya tak guna ‘pelaris’ – Yusof Haslam

Saya tak guna ‘pelaris’ – Yusof Haslam

YUSOF HASLAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam, 69, kecewa dengan dakwaan pihak-pihak tertentu yang menuduh beliau menggunakan ‘pelaris’ untuk menjual filem dan drama terbitan syarikatnya, Skop Production Sdn. Bhd.

Kata Yusof, dia tidak akan sesekali melakukan perkara terkutuk ini dan hanya menye­rahkan soal rezeki kepada Allah SWT.

“Orang tuduh saya guna ‘pemakai’ dan macam-macam lagi. Malah ada juga yang minta saya kongsikan ‘amalan’ untuk melariskan filem mereka.

“Saya tegaskan tidak pernah melakukan perkara syirik seperti itu. Kejayaan filem atau drama saya adalah rahsia Allah.

“Dakwaan-dakwaan sebegini adalah lumrah dalam dunia perniagaan. Samalah juga dengan perniagaan restoran, asal laku mesti dikatakan guna ‘pelaris’. Saya yakin dengan rezeki Allah dan selalu berdoa agar dikurniakan rezeki melimpah ruah, itu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Yusof memaklumkan beliau juga tidak dapat mengagak filem mana yang akan berjaya di pawagam kerana semua itu adalah ketentuan Allah SWT.

“Contoh filem Polis Evo 3 yang pada awal kita risau kurang sambutan kerana tempoh taya­ngannya berdekatan dengan filem luar seperti Fast X.

“Tetapi, atas kuasa Allah, Polis Evo 3 laku malah hasil kutipannya melebihi filem Fast X, sekitar RM50 juta selepas 24 hari ditayangkan.

“Kejayaan itu berlaku atas izin Allah. Kita buat sehabis baik, tetapi kita tak hebat. Rezeki itu sudah ditentukan Allah,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, pengarah filem Sembilu itu mengingatkan penggiat industri filem tempatan agar tidak lupa diri dalam berkarya.

Katanya, itu adalah prinsip yang dipegang yang mem­bolehkan syarikatnya bertahan lebih 37 tahun.

“Jangan sesekali lupa diri. Pesanan ini untuk semua, baik untuk anak-anak saya sekalipun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×