PETALING JAYA: Akibat terdesak memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup, seorang peminjam terjerumus di dalam perangkap sindiket peras ugut yang beridentitikan sebagai ah long sehingga membawa tempias kepada keluarga dan kenalannya.
Seorang pekerja persendirian yang tidak ingin namanya didedahkan memberitahu Utusan Malaysia, dirinya diminta untuk memuat turun sebuah aplikasi sebelum sindiket penipuan wang itu boleh memberikannya wang diminta.
Katanya, beliau tidak menyedari bahawa aplikasi dimuat turun dan dipasang di telefon bimbitnya adalah ‘pintu’ kepada ah long untuk menggodam dan memperoleh pelbagai akses kepada kandungan peribadi di dalam peranti tersebut.
“Saya minta mereka pinjamkan saya RM500 tapi sebelum saya dapat wang tu, saya kena memuat turun sebuah aplikasi milik ah long tu dengan alasan memudahkan saya membuat pembayaran balik tapi tanpa sedar mereka sudah dapat godam telefon pintar saya.
“Saya hanya dapat RM180 sahaja tapi beberapa bulan kemudian hutang saya pada ah long tu mencecah hampi RM3,500. Saya tak bersetuju jadi enggan bayarlah, dalam diam sindiket penipuan wang tu dah mula sebarkan mesej ke kenalan saya di aplikasi Whatsapp.
“Habis keluarga dan rakan-rakan saya tahu mengenai perkara ini, ada seorang pelanggan yang saya baharu tukarkan tayar motosikalnya pun hubungi saya mengatakan dia juga dapat mesej sama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut mangsa sindiket penipuan wang itu, mesej dihantar kepada ah long mempunyai ugutan apabila meminta rakan-rakannya pula membayar hutang tersebut, selain gambar-gambar peribadinya disebarkan untuk tujuan mengaib dan fitnah.
Salah seorang individu yang menerima mesej tersebut, menunjukkan mesej dihantar oleh ah long di aplikasi Whatsapp itu kepada Utusan Malaysia yang menunjukkan sindiket itu meminta wang kembali pada jumlah yang tidak masuk akal.
Katanya, pakcik beliau yang baharu sahaja berhubung dengan peminjam untuk bertanyakan mengenai kerosakan motosikal turut diganggu melalui mesej di aplikasi sama dan juga menerusi panggilan secara berterusan.
“Agak terkejutlah apabila tiba-tiba dapat mesej ini, saya terus hubungi peminjam untuk bertanyakan sama ada beliau sendiri yang memberi maklumat saya kepada ah long untuk meminjam wang, erti kata lain jadikan saya penjamin tanpa pengetahuan saya.
“Tapi lepas berjumpa dan berbincang, baru saya faham yang peminjam tu pun sudah menjadi mangsa kepada sindiket penipuan tersebut. Saya tak mahu mengambil pusing, jadi saya lapor serta sekat sahaja nombor ah long itu,” katanya.
Semakan Utusan Malaysia di aplikasi Facebook menunjukkan terdapat lebih daripada 10 aplikasi seperti sedemikian yang memerangkap peminjam dengan melibatkan orang-orang tidak sepatutnya.
Malah, difahamkan sekiranya penerima mesej tersebut mengklik pautan diterakan akan menyebabkan telefon bimbit penerima pula digodam dan ah long mendapat akses. – UTUSAN










