Dibakar untuk hapus rahsia Melaka, Mendam Berahi bukan mitos

Dibakar untuk hapus rahsia Melaka, kapal Mendam Berahi bukan mitos

YANG Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam (kiri) melihat replika Mendam Berahi yang dipamerkan pada Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kapal Mendam Berahi bukanlah mitos namun keberadaannya belum dapat dibuktikan sehingga kini kerana dipercayai dibakar dan ditenggelamkan di tengah laut untuk mengelakkan musuh mendapat maklumat penting tentang kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin berkata, Laksamana Hang Tuah berkemungkinan telah mengarahkan juragan kapal ke lokasi yang tidak diketahui untuk dimusnahkan.

Katanya, kapal yang digeruni musuh itu dipercayai dibawa ke tengah laut di bahagian selatan Melaka bagi mengelakkan bertembung dengan armada Portugis yang datang dari arah utara.

“Kapal ini sangat besar dan dianggap moden pada waktu itu. Pihak musuh sangat mahukannya kerana menyimpan banyak rahsia maritim Kerajaan Melaka serta jejak keberadaan Sultan.

“Maruah kita sebagai orang Melayu akan jatuh jika Portugis berjaya menawan Mendam Berahi. Justeru, Hang Tuah terpaksa membuat keputusan yang berat dengan mengarahkan juragan berlayar jauh ke tengah laut untuk membakar kapal tersebut.

“Disebabkan itu bangkai kapal yang dianggarkan sepanjang 500 kaki itu masih tidak ditemui para penyelidik sehingga sekarang,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan semula replika Mendam Berahi yang pernah menjadi kebanggaan zaman Kesultanan Melayu Melaka sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kapal yang dipercayai wujud sezaman dengan Hang Tuah itu merupakan antara kehebatan bangsa Melayu dan wajar menjadi tatapan generasi masa kini.

Dalam pada itu, mengenai cadangan kerajaan negeri agar replika Mendam Berahi dibina tahun hadapan, Khalid berkata, usaha itu sangat baik tetapi ciri-ciri dan saiznya perlu diperhalusi.

Menurutnya, Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? yang dianjurkan Muzium Seni Bina, Jabatan Muzium Malaysia dan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) baru-baru ini hanya mengupas mengenai kewujudannya sahaja.

“Saya berpendapat kita perlukan satu atau dua lagi seminar seperti ini tetapi melibatkan pakar-pakar membuat kapal pula. Teliti semula Hikayat Hang Tuah dan kajian lepas kemudian buat lakaran dalam bentuk lukisan.

“Kalau kerajaan negeri mahu bina replika Mendam Berahi, buat sahaja. Pastikan kapal ini dihasilkan dengan teliti kerana ia akan menjadi rujukan serta tatapan generasi akan datang tentang kehebatan dunia maritim empayar Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN