KITA biasa menyebut nama negara seperti menyebut nama seseorang. Nama-nama itu sudah terlalu biasa sehingga kita lupa bahawa setiap nama ada sejarah dan kisah di sebaliknya.
Secara umum, terdapat 195 buah negara yang diakui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Daripada jumlah itu, sejumlah 54 buah negara terletak di Afrika, Asia (48), Eropah (44), Amerika Latin dan Caribbean (33), Oseania (14) serta Amerika Utara (2).
Di atas peta dunia, nama setiap negara kelihatan seperti label. Dalam sejarah manusia, ia boleh menjadi bukti siapa yang datang dahulu, siapa yang menamakan, siapa yang berkuasa dan siapa yang akhirnya terpaksa menerima nama yang diberikan orang lain.
Maka, apabila kita menyelidik asal usul nama sebuah negara, kita sebenarnya sedang membuka pintu kepada sejarah yang lebih panjang daripada sekadar sejarah geografi.
Secara umum, nama negara-negara di dunia mempunyai beberapa sumber utama. Ada negara mengambil nama daripada bentuk muka bumi, sungai, gunung atau kedudukan geografi. Ada pula nama merujuk kepada suku kaum dan bangsa.
Ada juga yang mengabadikan tokoh sejarah. Malah, ada negara yang namanya lahir daripada arah mata angin.
Namun, di celah semua kategori itu terdapat nama-nama yang begitu ganjil sehingga kita mungkin tertanya-tanya, siapa yang mula-mula terfikir untuk memberikan nama seperti itu.
Jepun ialah contoh yang menarik. Dalam bahasa Jepun, negara itu dikenali sebagai Nihon atau Nippon iaitu asal matahari atau tempat matahari terbit.
Nama itu berkait dengan kedudukan Jepun di sebelah timur tanah besar Asia. Dari sudut pandang masyarakat China purba, matahari muncul dari arah Jepun. Maka lahirlah gambaran tentang Negara Matahari Terbit dan gelaran itu masih digunakan sehingga kini.
Argentina mempunyai kisah yang berbeza. Namanya berasal daripada perkataan Latin argentum yang bermaksud perak. Nama itu berkait dengan Río de la Plata atau Sungai Perak serta harapan penjelajah Eropah terhadap kekayaan logam berharga di kawasan berkenaan.
Algeria memberi contoh yang lebih ganjil. Nama Arab al-Jazāir bermaksud pulau-pulau dan merujuk kepada pulau-pulau kecil di hadapan pesisir Algiers.
Pulau-pulau tersebut akhirnya tidak lagi wujud sebagai pulau yang terpisah daripada tanah besar, namun namanya terus hidup. Maka, apa yang hilang daripada rupa bentuk geografi masih kekal dalam bahasa. Begitulah kuatnya sebuah nama.
Ada pula negara yang namanya menjadi penghormatan kepada manusia. Bolivia dinamakan sempena Simón Bolívar, tokoh utama dalam perjuangan kemerdekaan Amerika Selatan.
Colombia pula berkait dengan nama Christopher Columbus, manakala Filipina mengambil nama daripada Raja Philip II dari Sepanyol.
Kazakhstan, Uzbekistan dan Tajikistan menggunakan akhiran stan yang berasal daripada bahasa Parsi dan membawa makna tanah atau tempat.
Kazakhstan ialah tanah orang Kazakh, Uzbekistan tanah orang Uzbek dan Tajikistan pula tanah orang Tajik.
Maka, nama negara bukan sekadar menunjukkan kepada kita di mana sesuatu tempat berada, malah memberitahu kita siapa yang menganggap tanah tersebut sebagai tempat mereka.
Australia pula membawa kita ke dunia imaginasi geografi. Namanya berkaitan dengan Terra Australis atau Tanah Selatan iaitu idea tentang sebuah daratan besar di bahagian selatan dunia.
Sementara itu, Austria mempunyai akar nama yang bermaksud wilayah timur. Ecuador lebih mudah difahami kerana dalam bahasa Sepanyol bermaksud khatulistiwa. Negara itu memang dilintasi garisan Khatulistiwa sebagaimana Malaysia.
Sewaktu melakukan pembacaan dari pelbagai sumber bagi tujuan menulis rencana ini, saya turut menemui nama-nama negara yang hampir seperti cerita rakyat.
Bhutan mempunyai nama tempatan yang sangat puitis iaitu Druk Yul atau Tanah Naga Petir. Druk ialah naga petir yang menjadi simbol penting dalam budaya Bhutan. Bunyi guruh yang bergema di lembah Himalaya tidak hanya dianggap sebagai fenomena cuaca. Sebaliknya, dikaitkan dengan naga, lalu sebuah negara seakan-akan diberi nama sempena bunyi dari langit.
Pada 1472, pelaut Portugis yang tiba di kawasan Sungai Wouri dikatakan terkejut melihat banyak udang di sana. Mereka menamakan sungai itu Rio dos Camarões atau Sungai Udang. Nama itu kemudian berkembang melalui perubahan bahasa dan pemerintahan sehingga menjadi Cameroon yang kita kenali sekarang.
Venezuela juga ada kisah yang tidak kurang menarik. Nama itu sering dikaitkan dengan Veneziola atau Venice Kecil iaitu gambaran yang lahir apabila penjelajah Eropah melihat penempatan penduduk pribumi di atas air dan mengaitkannya dengan Venice di Itali. Sekali lagi, nama sebuah negara lahir daripada cara orang luar melihat sesuatu tempat.
Sejak Ogos lalu, nama Nauru di Lautan Pasifik kembali kepada nama asal iaitu Naoero. Agak menarik kerana nama negara itu dalam bahasa asal di pulau berkenaan membawa makna saya pergi ke pantai.
Nama ini dianggap sesuai kerana laut dan pantai menjadi sebahagian daripada hidup penduduk di sana.
NAMA MERAKAM SEJARAH
Kita sering terlupa tentang hakikat nama sebuah negara ialah sejarah yang dipendekkan. Kita hanya menyebut satu perkataan tanpa menyedari hakikat di belakang perkataan itu mungkin ada pelaut, penjajah, raja, suku kaum, sungai, gunung, kepercayaan, kesilapan, mitos dan perebutan kuasa.
Ada nama yang diberi oleh manusia yang datang dari jauh. Ada pula nama yang lahir daripada bahasa penduduk asal. Apa-apa pun, apabila kita melihat peta dunia, jangan lihat sempadan negara sahaja. Sebaliknya, elok juga kita cuba menyelidik kisah di sebalik nama negara terbabit.
Setiap nama itu mungkin sedang cuba memberitahu kita suatu perkara menarik yang peta tidak mampu tunjukkan atau guru tidak sempat ajar di sekolah. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











