Bayaran gratuiti, ganjaran ganti pencen

Bayaran gratuiti, ganjaran ganti pencen

parlimen
Majoriti Ahli Parlimen belum melakukan pemeriksaan kesihatan seperti mana yang diwajibkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bayaran gratuiti atau ganjaran dilihat kaedah sesuai menggantikan pencen bekas ahli Parlimen dan anggota pentadbiran termasuk bekas Perdana Menteri sekali gus mampu meringankan beban kerajaan yang terpaksa membelanjakan RM2 bilion setahun bagi menanggung saraan tersebut.

Justeru, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 perlu dikaji dengan melihat semula peruntukan bagi saraan wakil-wakil rakyat khususnya kerajaan kini terbeban ekoran peningkatan perbelanjaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, ahli Parlimen boleh dianggap bertugas sebagai lantikan kontrak bagi setiap penggal yang diberikan ganjaran atau gratuiti secara ‘one-off’ selepas tamat perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…
MUHAMMAD IZMER YUSOF

Katanya, nilai ganjaran itu boleh ditentukan oleh kerajaan yang mana bekas ahli Parlimen terbabit tetap menerima duit dalam jumlah agak besar apabila sudah tidak berkhidmat.

Jelas beliau, skim saraan tersebut mungkin dilihat tidak adil khususnya membabitkan ahli-ahli Parlimen muda yang berkhidmat hanya beberapa tahun tetapi memperoleh pencen penuh sehingga seumur hidup.

Katanya, sedangkan penjawat awam perlu berkhidmat minimum 25 tahun sekurang-kurangnya untuk memperoleh pencen penuh.

“Ada mekanisme boleh dibuat antaranya kita boleh anggap ahli Parlimen ini sebagai lantikan kontrak apabila tamat kontrak (sepenggal) beri ganjaran atau gratuiti secara ‘one-off’. Jika penggal depan masih berkhidmat, sambung lagi kontrak dan ganjaran selepas itu.

“Kontrak ini tidak ada istilah pencen tetapi dalam masa sama masih menerima duit (ganjaran),” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, pencen bekas ahli Parlimen dan anggota pentadbiran termasuk bekas Perdana Menteri perlu dikaji semula memandangkan kerajaan kini terpaksa membelanjakan RM2 bilion setahun bagi menanggung saraan tersebut.

Jumlah itu boleh membina 10 sekolah jika kos sebuah dikatakan RM200 juta atau dua hospital canggih dengan setiap satu menelan RM1 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, perbelanjaan itu terus meningkat setiap kali ada ahli Parlimen dan anggota Kabinet yang tidak lagi berkhidmat manakala isteri masing-masing terus menerima manfaat itu apabila ahli politik terlibat meninggal dunia.

Di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, undang-undang menetapkan ahli Dewan Rakyat yang telah melengkapkan sekurangnya 36 bulan perkhidmatan, layak mendapat pencen maksimum 3/5 daripada gaji.

Sebagai contoh, gaji ahli Parlimen adalah RM16,000 maka pencen diterima adalah 3/5 x RM16,000 = RM9,600.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, peruntukan RM2 bilion setahun bagi menanggung saraan tersebut seperti dilaporkan itu disifatkan sangat besar dengan banyak kegunaan lain boleh dilaksanakan dengan jumlah berkenaan seperti kemudahan pendidikan, kesihatan atau infrastruktur.

“Kita ambil contoh Perlis, peruntukan tahunan kerajaan salur mungkin sekitar RM300 juta, bayangkan RM2 bilion boleh sara berapa lama untuk Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini