Balas dendam antara punca anak ‘buang’ ibu bapa

Balas dendam antara punca anak ‘buang’ ibu bapa

Balas dendam adalah antara punca ibu bapa 'dibuang' anak-anak di rumah-rumah kebajikan atau di hospital. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Balas dendam kerana ibu atau bapa pernah mengabaikan tanggungjawab di usia muda adalah antara faktor utama seramai 1,738 warga emas ‘dibuang’ anak-anak dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Walaupun jumlah sebenarnya mungkin jauh lebih besar daripada yang direkodkan, mengikut data Kementerian Kesihatan (KKM) ia diperoleh berdasarkan rekod warga emas yang dibantu mendapatkan penempatan oleh Jabatan Pekerja Sosial Peruba­tan (JKSP) sejak 2018.

KKM dalam kenyataan kepada Mingguan Malaysia berkata, berdasarkan pengalaman me­nguruskan warga emas yang tidak dituntut ahli keluarga, pelbagai faktor menyumbang kepada senario tersebut berlaku.

Menurutnya, antara faktor yang dikenal pasti adalah warga emas berkenaan pernah menga­baikan tanggungjawab kepada keluarga pada usia muda.

“Pengalaman ini telah me­ninggalkan kesan dalam hubu­ngan antara mereka hingga mendorong mereka menyisihkan warga emas walaupun ibu atau bapa kandung mereka sendiri.

“Ramai dalam kalangan warga emas yang terabai didapati pernah terjebak dalam gejala sosial di usia muda. Masalah sosial ini telah menyebabkan mereka gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.

Selain itu menurut kenya­taan tersebut, faktor kewangan juga adalah antara punca menyebabkan warga emas tersebut disisihkan keluarga.

“Warga emas yang tidak mempunyai wang simpanan di hari tua tidak mampu me­nguruskan kehidupan mereka dengan baik apabila di usia tua, mereka tidak lagi berupaya bekerja kuat mencari nafkah.

“Ramai dalam kalangan mereka yang hidup terbiar, menjadi kutu rayau dan pengemis. Sekiranya keluarga mereka berpendapatan rendah dan ramai tanggungan, beban penjagaan warga emas akan semakin bertambah.

“Bebanan kewangan akan bertambah sekiranya warga emas mengalami hilang ke­upayaan fizikal dan mental,” katanya.

Turut menyumbang kepada keadaan itu adalah warga emas tersebut tidak mempunyai waris untuk menjaganya di­sebabkan status bujang, duda atau janda.

Selain itu, ketiadaan dokumen pengenalan diri juga menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan maklumat bagi mengesan waris.

Menurut KKM, pesakit warga emas yang sudah discaj namun tidak dituntut waris akan dirujuk kepada JKSP untuk diberi bantuan praktik dan terapi sokongan.

Menurutnya, pegawai JKSP akan membantu menguruskan penempatan institusi dan mengesan waris untuk pesakit yang ditinggalkan keluarga, tiada tempat tinggal, tiada dokumen pengenalan diri ataupun terlantar.

“Pelbagai usaha dilakukan agar pesakit-pesakit ini mendapat penjagaan yang sebaiknya selepas dibenarkan discaj.

“Antaranya adalah kaunseling keluarga, menguruskan bantuan kewangan pesakit, mencari penempatan yang sesuai dan jaringan kerjasama dengan agensi pemberi bantuan yang lain.

“Walaubagaimanapun terdapat sedikit kekangan dalam menguruskan penempatan pesakit kerana jumlah institusi terhad dan pesakit tidak menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh agensi yang menawarkan penempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×