UMNO akan berusaha keras tawan Kedah, Kelantan dan Terengganu - Utusan Malaysia

UMNO akan berusaha keras tawan Kedah, Kelantan dan Terengganu

FATHUL Bari Mat Jahya (kanan) memberi duit raya kepada kanak-kanak sewaktu Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Kangar di Muzium Kota Kayang, Kangar, Perlis, semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dijangka tidak memberi laluan mudah buat UMNO atau Barisan Nasional (BN) untuk meraih kemenangan di tiga negeri pembangkang iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Berikutan itu, ahli dan pemimpin UMNO perlu berusaha bagi memberi kesedaran buat rakyat memandangkan parti itu kini turut berdepan tekanan dimainkan pihak lawan membabitkan pentadbiran kerajaan, politik dan fitnah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, walaupun kedudukan kerajaan Perpaduan pada ketika ini agak stabil dengan jumlah majoriti dua pertiga, namun isu-isu yang dimainkan di peringkat negeri dilihat berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Saya merasakan PRN ini agak sukar namun sebagai ahli parti kita kena berusaha buat kerja untuk memastikan UMNO dapat meraih kemenangan.

“Prinsip saya mudah sahaja iaitu kita kena berusaha untuk dapatkan kemenangan (Kedah, Kelantan dan Terengganu) dalam PRN kali ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Kangar di Muzium Kota Kayang, di sini, semalam.

Fathul Bari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang UMNO untuk meraih kemenangan di Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Majlis yang bermula pukul 12 tengah hari itu berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, terdapat beberapa isu yang boleh dimainkan parti itu dalam menghadapi PRN kali ini antaranya membabitkan soal polisi, urus tadbir dan gerak kerja kerajaan negeri.

“UMNO perlu menggelakkan amalan politik menyerang satu sama lain tanpa mempunyai visi yang jelas khususnya membabitkan kepentingan rakyat.

“Saya rasa isu-isu yang membabitkan rakyat ini perlu diketengahkan agar mereka sedar dan tidak lagi terikat dengan cara politik kuno seperti saling bertikam lidah antara satu sama lain tanpa melihat permasalahan yang berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran majlis berkenaan, Fathul Bari berkata, terdapat pelbagai pengisian menarik turut dianjurkan dengan bertemakan ‘Ghaya Kampung Style’ bagi memberi kelainan buat jemputan yang hadir.

Kata Ketua UMNO Bahagian Kangar itu, selain berpakaian ala masyarakat kampung suatu ketika dahulu, terdapat juga pengisian menarik antaranya seperti pertandingan mewarna, pakaian mengikut tema, cabutan bertuah, pemberian duit raya dan pelbagai lagi.

“Kita bawa sedikit kelainan kali ini bagi mengimbau kembali nostalgia lama dengan membawakan konsep ini dan dapat dilihat setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Bahagian Kangar telah membawa keunikan mereka tersendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya