KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap bekas Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd. Azhar Mohd. Yusoff, 56, selepas didapati bersalah terhada[ semua 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2019 hingga 2023.
Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir pembelaan tertuduh, sekali gus membolehkan sabitan dibuat bagi kesemua pertuduhan.
Menurut Sazlina, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen yang memenuhi kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi 46 tuduhan itu. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Mohd Azhar sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi namun jumlah jaminan dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM30,000 sementara menunggu proses rayuan.
Dalam hujahan mitigasi, peguam bela, Datuk Bob Arumugam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda berbanding penjara dengan mengambil kira rekod perkhidmatan Mohd. Azhar selama lebih 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Arumugam berkata, sabitan kesalahan itu membawa implikasi serius terhadap anak guamnya, termasuk kehilangan pendapatan, hak pencen, ganjaran perkhidmatan, kerjaya, nama baik serta status sosial sebagai pegawai polis.
Menurutnya, Mohd. Azhar mempunyai rekod perkhidmatan bersih tanpa rekod jenayah lampau atau tindakan tatatertib sepanjang berkhidmat dalam PDRM, selain berdedikasi menjalankan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam.
Beliau turut berhujah wang yang diterima anak guamnya adalah dalam bentuk sumbangan berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR), program dan dana aktiviti yang dijalankan.
Katanya, perkara itu berpunca daripada kelemahan pengurusan dana, sumbangan CSR dan program tanpa dokumen sokongan yang lengkap, selain menegaskan wang berkenaan tidak digunakan untuk kepentingan peribadi Mohd. Azhar.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara yang berat dengan mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai pegawai polis berpangkat tinggi serta tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
Mohd. Azhar mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 46 pertuduhan ketika pertuduhan dibacakan pada 7 September 2023 dan memilih untuk dibicarakan. Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mahkamah memerintahkan Mohd. Azhar membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Radzi Shah Abd. Razak dan Dr. Ifa Sirrhu Samsuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob A. Arumugam dan Datuk M. Athimulan.
Mahkamah turut memerintahkan pasport Mohd. Azhar disimpan di mahkamah sehingga selesai permohonan rayuan. – UTUSAN











