SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, meluahkan rasa terharu apabila diberi kepercayaan menghasilkan lagu khas sempena majlis persandingan pasangan selebriti, Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, baru-baru ini.
Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 38, menyifatkan peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan Bella itu sebagai penghargaan besar terhadap dirinya sebagai pencipta lagu.
“Sebenarnya, saya agak terkejut apabila lagu ciptaan saya dipilih sebagai lagu tema untuk peristiwa bahagia yang cukup bermakna ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan dan setinggi-tinggi tahniah buat Bella serta Saddiq atas kebahagiaan mereka,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai proses kreatif di sebalik penghasilan lagu berkenaan, penerima Anugerah Ikon AJL 40 itu berkata, Bella memberikan kebebasan kepadanya untuk menentukan hala tuju muzik dan lirik lagu tersebut.
Bagaimanapun, Hael menegaskan setiap karya yang dihasilkan untuk seseorang artis lazimnya berpandukan pengalaman serta perjalanan hidup penyanyi berkenaan.
“Setiap kali menghasilkan lagu untuk artis, saya akan merujuk kepada pengalaman atau kisah hidup mereka sendiri.
“Bagi saya, apabila seseorang artis menyanyikan sesebuah lagu, dia perlu menyampaikannya dari hati. Itu perkara paling penting supaya emosi yang ingin disampaikan dapat dirasai pendengar,” katanya.
Terdahulu, Bella mencuri perhatian apabila membuat kejutan istimewa dengan menyanyikan lagu yang dihasilkan khas buat suaminya, Syed Saddiq, ketika majlis resepsi mereka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Ahad lalu.
Bella berkata, lagu berjudul Bersama Aku Setia Selamanya itu, yang dihasilkan dengan bantuan Hael, mengisahkan perjalanan hubungan cinta pasangan berkenaan.
Lagu tersebut dijangka dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. – UTUSAN











