Tutup sekolah kurang murid

Tutup sekolah kurang murid

GURU matematik, Noorazlan Ahmed @ Mat mengajar di Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak di Bagan Datuk, Perak yang mempunyai lapan murid sahaja pada tahun 2023. – MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekolah-sekolah di seluruh negara yang mempunyai murid kurang daripada 15 orang wajar ditutup bagi menjimatkan banyak kos per­belanjaan kerajaan.

Selain itu, sekolah tersebut patut disatukan dengan sekolah-sekolah lain yang berhampiran agar memudahkan pengurusan semua pihak.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, penutupan sekolah-sekolah ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan, malah, menjimatkan penggunaan guru dan pentadbir sekolah.

Kata beliau, ini kerana Kementerian Pendidikan (KPM) tetap perlu mengeluarkan sejumlah peruntukan bagi menampung semua kos pemba­ngunan sekolah-sekolah ini.

“Guru di sekolah terlibat juga terpaksa mengajar banyak subjek, termasuk bukan pengkhususan sendiri demi menjamin kecemerlangan akademik pelajar sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada tahun 2019, bekas Timbalan Menteri Pendidikan pada waktu itu, Teo Nie Ching berkata, KPM mengenal pasti seba­nyak 30 peratus daripada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) iaitu kurang daripada 150 pelajar pada satu-satu masa.

Pada tahun 2022, bekas Timbalan Menteri Pendidikan I pada waktu itu juga, Datuk Dr. Mah Hang Soon, berkata, sebanyak 3,017 sekolah rendah di Malaysia adalah sekolah SKM melibatkan 2,034 Sekolah Kebangsaan (SK), 616 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 367 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sementara itu, Jasni berkata, masyarakat yang berada dalam kelompok SKM tidak boleh membuat permintaan atau demand yang tinggi dalam isu ini.

“KPM menyediakan ba­nyak sekolah berasrama dengan penginapan yang kondusif dan selamat kepada murid-murid yang kurang berkemampuan serta tinggal jauh daripada sekolah. Jadi mereka boleh menggunakan kemudahan yang disediakan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan berkata, punca timbulnya SKM adalah disebabkan kebanyakan masyarakat berpindah ke kawasan lain.

“Sekolah SKM dahulunya dibina di kawasan-kawasan lombong dan ladang getah.

“Namun, sekarang ramai masyarakat berpindah ke kawasan yang lain menyebabkan pengurangan penduduk dan bilangan murid yang bersekolah juga telah berkurang di kawasan itu,” katanya.

Mohd. Azizie turut bersetuju sekolah SKM wajar ditutup kerana menelan kos yang tinggi dan dilihat kurang kondusif.

“Para pelajar boleh berpindah ke sekolah berhampiran kerana ia dapat menggurangkan kos dan penjawatan juga tidak perlu dilakukan seperti lantikan guru besar dan timbalan-timbalannya.

“Jika kerajaan tidak mahu bangunan sekolah SKM terbiar begitu sahaja, ia boleh dijadikan cawangan bagi sekolah berhampiran untuk melakukan sebarang aktiviti sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN