Sanusi tak teruja pengumuman RM1.6 bilion, dakwa bukan projek baharu

Sanusi tak teruja pengumuman RM1.6 bilion, dakwa bukan projek baharu

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kerajaan negeri tidak teruja dengan pengumuman peruntukan RM1.6 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk negeri itu, baru-baru ini.

Ini kerana Muhammad Sanusi mendakwa, pengumuman tersebut sebenarnya hanya melibatkan projek-projek pembangunan Kedah yang sudah diumum dan diusahakan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya difahamkan projek itu ada projek sambungan, ada projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang belum disiapkan dan disambung. Perkara rutin, bukan benda baharu dan kalau beliau bawa mai perkara baharu untuk RM1.6 bilion itu, kita pun nak tau (projek) apa?

“Saya taklah teruja sangat sebab semua benda sudah ada dalam jadual. Bila diumum semula bukan lah benda baharu. Kalau umum benda baharu saya nak dengar juga. Mai jual benda macam itu bila orang reti, tak lakulah kedai itu dan kalau orang tak reti, lakulah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, baru-baru ini bahawa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sekitar RM1.6 bilion untuk Kedah.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi bagaimanapun mengalu-alukan pandangan Anwar yang menegaskan kerajaan pimpinannya sama sekali tidak akan menganak tirikan empat negeri pembangkang di bawah Perikatan Nasional (PN) termasuk Kedah.

Beliau berkata, perkara itu merupakan semangat Persekutuan yang harus dihargai kerana ia adalah amalan biasa yang dimeterai sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

“Apakah yang kena diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan apakah yang menjadi bidang kuasa negeri. Saya sudah cakap lama, duduk dalam petak (bidang kuasa) masing-masing. Hanya dalam petak yang bersama kita duduk lah sekali.

“Saya tiada masalah sikit pun siapa jadi Kerajaan Persekutuan dan siapa kerajaan negeri. Kalau saling hormat bidang kuasa dan fungsi masing-masing tak akan ada apa-apa masalah, hormatlah sistem yang terbina di negara ini, masing-masing pakat terima pakai yang itu jalanlah seperti biasa.

“Tak perlu ada konsep baharu kalau (kerajaan negeri) sama (diberi layanan) istimewa dan kalau tak sama, tak istimewa. Itu semua di luar undang-undang, perkara yang ini tak patut dilayan kerana tak memberi nilai tambah kepada kemajuan negara ini,” tegasnya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Perpaduan tidak perlu menunggu untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah sekiranya mahu meningkatkan trip perkhidmatan feri Pulau Langkawi kerana bidang kuasa berkaitan pengangkutan air itu sememangnya di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Saya nak maklumkan bahawa perkhidmatan feri, jeti, lesen kereta api dan lapangan terbang 100 peratus di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Persekutuan, tak perlu tukar kerajaan pun mereka kena buat benda itu. Saya tak tau dia tau ka tak tau (bahawa) itu memang petak (tugas) dia.

“Kalau saya nak pi buat petak (kerja-kerja) itu tak boleh, kerajaan negeri nak pi korek laut bagi dalam supaya feri boleh lalu banyak kali, tak boleh pasai petak (tanggungjawab) Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri nak buat KXP tak boleh pasai kena kebenaran Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Pada Himpunan Madani Kedah Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu kekurangan trip feri di samping masalah bekalan air di negeri itu akan diselesaikan sekiranya Kerajaan Perpaduan mentadbir negeri Kedah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya