KUANTAN: Berkat kesedaran ibu bapanya mendaftarkan nama di Tabung Haji seawal usia satu tahun, seorang remaja berusia 16 tahun bakal menjadi jemaah haji tahun ini.
Remaja terbabit, Nur Amira Faeezah Ahmad, 16, melahirkan rasa bertuah berpeluang mengerjakan haji tahun ini sekali gus menjadi antara individu termuda dalam kalangan 1,900 bakal jemaah haji negeri ini.
Lebih mengujakan buat Nur Amira Faeezah apabila ibadah terbabit dapat dilakukan bersama semua ahli keluarganya iaitu ibu, Azlina Adam, 53; bapa, Ahmad Omar, 54, dan abangnya, Muhammad Amar Faeez, 21.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat itu berkata, mereka sekeluarga mendaftar haji serentak pada 2008 ketika usianya satu tahun.
“Sebenarnya rasa tidak sangka dapat pergi mengerjakan haji pada usia ini. Rasa gembira dan bersyukur dapat panggilan untuk mengerjakan haji tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus Haji Perdana dan Penyampaian Insentif Haji Peringkat Negeri Pahang bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, semalam.
Nur Amira Faeezah berkata, mereka sekeluarga mendapat tahu tentang bembira terbabit melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira dua minggu sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
“Selepas itu, ibu dan ayah terus pergi membuat semakan di Tabung Haji dan kemudian kami menerima surat tawaran bagi tujuan pengesahan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berjata, sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster jemaah haji. – UTUSAN











