PSI: Projek tambak laut selatan Pulau Pinang kini dikecilkan kepada hanya satu pulau - Utusan Malaysia

PSI: Projek tambak laut selatan Pulau Pinang kini dikecilkan kepada hanya satu pulau

CHOW Kon Yeow menunjukkan pelan tambak laut bagi projek PSI yang kini dikurangkan kepada hanya sebuah pulau berbanding tiga buah pulau sebelum ini dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Rancangan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula dan memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek tersebut.

Menurut beliau, keputusan itu juga mengambil kira komitmen yang diberikan Kerajaan Pusat untuk menyediakan dana dan menyegerakan projek pembinaan transit aliran ringat (LRT) di negeri itu.

“Kerajaan negeri menyahut seruan Perdana Menteri itu dan kini projek tambakan perairan selatan Pulau Pinang hanya akan melibatkan seluas 2,300 ekar (930.1 hektar) iaitu pembinaan Pulau A atau `Silicon Island’ sahaja.

“Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan.

“Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.6 hektar) dan 800 ekar (323.7 hektar) tidak akan diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ketika berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di UiTM Permatang Pauh Sabtu lalu, Anwar meminta supaya projek tambak laut perairan selatan itu dikaji semula dan diperkecilkan skop tambakannya.

Sebagai alternatif, tambah Perdana Menteri, Kerajaan Pusat akan menyediakan skim dalam jumlah dana yang besar dan mencukupi kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT.

Menurut Kon Yeow, Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang diluluskkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui surat bertarikh 11 April lalu meliputi ketiga-ketiga pulau seluas 1,821 hektar sekali gus tidak memerlukan kerajaan negeri untuk memohon EIA baharu untuk meneruskan projek tersebut.

Dalam masa sama, ujar beliau, pengurangan saiz tambakan laut menerusi projek itu juga tidak akan memberi sebarang impak kepada kerajaan negeri dari sudut bayaran pampasan atau ganti rugi kepada pihak pelaksana projek, SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) memandangkan perjanjian pelaksanaan projek dibuat secara berasingan bagi ketiga-tiga projek tambakan laut.

Jelasnya, dengan pengurangan saiz tambakan laut menerusi projek itu juga, jumlah nelayan yang terlibat secara langsung kini hanya seramai 115 orang iaitu dari unit Permatang Tepi Laut iaitu yang berhadapan dengan tapak tambakan `Silicon Island’ berbanding 496 orang dari empat unit nelayan sebelum ini yang membabitkan ketiga-tiga pembangunan pulau.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk golongan nelayan terlibat akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I dalam masa terdekat,” katanya.

Berhubung rancangan pelaksanaan LRT, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberikan laporan terkini tentang cadangan projek tersebut iaitu kerja-kerja yang telah dicapai sehingga kini kepada Kerajaan Pusat khususnya kementerian berkaitan iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

Ujarnya, ia supaya Kerajaan Pusat dapat mengambil maklum apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan negeri bersama SRS Consortium berhubung cadangan projek LRT yang menghubungkan Bayan Lepas ke pusat bandar (George Town) tersebut.

“Ini disebabkan kita sudah mencapai ke peringkat request for proposal (RFP) untuk pembinaan dan kita juga sudah melalui beberapa tahun perancangan untuk projek ini dan sekarang sudah bersedia untuk proses tender.

“Kita serahkan kepada Kerajaan Pusat untuk memuktamadkan perkara ini dan difahamkan mesyuarat antara kementerian terlibat sudah diadakan, kita juga menunggu untuk dipanggil ke mesyuarat itu dan berharap kerajaan negeri juga dilibatkan dalam perbincangan teknikal supaya kita dapat membentangkan laporan yang kita ada,” katanya.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan, projek tambakan laut selatan Pulau Pinang itu telah memperoleh kelulusan EIA daripada JAS dan dijangka bermula suku ketiga tahun ini sebaik sahaja mendapat kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

Berdasarkan rancangan asal, projek tambakan itu akan melibatkan keluasan hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,821 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas bertujuan mencari dana bagi menjalankan projek LRT.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya