PSI: Lebih 50 peratus nelayan sudah terima skim SIMP

PSI: Lebih 50 peratus nelayan sudah terima skim SIMP

Kerja-kerja tambakan laut bagi pelaksanaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) sedang giat dilaksanakan di Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lebih 50 peratus nelayan di kawasan selatan negeri ini telah menerima skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) susulan pelaksanaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Zakaria Ismail berkata, ketika ini, hanya dua unit nelayan iaitu Unit Nelayan Sungai Batu dan Unit Nelayan Teluk Tempoyak yang melibatkan seramai 100 orang nelayan masih belum menandatangani skim berkenaan.

”Setahu saya, lebih 50 peratus nelayan telah turunkan tandatangan menyatakan bahawa mereka setuju untuk terima skim SIMP ini selepas kerja-kerja tambakan laut dimulakan.

”Kebanyakan nelayan yang terima skim ini adalah nelayan yang telah berusia dan mereka juga bukan nelayan sepenuh masa. Jadi, mereka setuju sahaja untuk terima skim SIMP ini,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa, terdapat beberapa unit nelayan yang masih menolak skim SIMP termasuk unit nelayan di Sungai Batu, Teluk Tempoyak, Seri Jerjak dan Teluk Kumbar.

Unit-unit nelayan lain yang dikategorikan sebagai tahap satu iaitu terletak paling hampir dengan tapak PSI iaitu di Permatang Tepi Laut, Gertak Sanggul dan unit tahap dua iaitu di Pulau Betong, Kuala Sungai Burung dan Batu Maung bagaimanapun dikatakan telah menerima skim SIMP itu.

Skim SIMP sebelum ini diperkenalkan oleh kerajaan negeri kepada nelayan yang terlibat dengan projek PSI dan ia merangkumi pakej pemberian saguhati selain program yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan termasuk program pemerkasaan dan skim perumahan.

ZAKARIA ISMAIL

Menurut Zakaria, rata-rata nelayan yang masih belum menerima skim SIMP adalah disebabkan kerana mereka tidak begitu berpuas hati dengan tawaran yang diberikan.

Katanya, sebagai contoh, sebahagian nelayan di Teluk Tempoyak menerima kesan daripada projek berkenaan sama seperti nelayan di Sungai Batu yang dikatakan lokasi paling terkesan dengan impak susulan projek tambakan laut itu.

“Dalam hal ini, nelayan di Teluk Tempoyak ditawarkan dengan pakej ‘ex-gratia’ tahap dua, namun, mereka tidak bersetuju kerana kesan yang mereka terima daripada projek ini sama dengan nelayan yang dikategorikan sebagai tahap satu.

“Justeru, kami akan cuba usahakan agar nelayan di Teluk Tempoyak juga menerima ‘ex-gratia’ tahap satu selepas ini,”ujar Zakaria.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN