GEORGE TOWN : Pembangunan projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) kini berdepan cabaran apabila tujuh nelayan yang diketuai Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) bertindak memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Kesemua mereka memfailkan semakan kehakiman itu pada 29 Disember tahun lalu bagi mencabar kebenaran merancang projek PSI yang diberi oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang pada 21 Ogos 2023.
Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. Mageswari berkata, kesemua sembilan pemohon telah menyaman Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia) selaku responden pertama; Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang (responden kedua); kerajaan negeri Pulau Pinang (responden ketiga) dan pemaju projek; SRS Consortium Sdn Bhd sebagai responden keempat.
”Pemohon pertama, Zakaria Ismail membawa tindakan ini bagi pihak diri sendiri serta nelayan-nelayan lain yang tinggal atau menjalankan aktiviti perikanan di selatan pantai pulau Pulau Pinang yang terjejas akibat projek PSI.
”Pada 5 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memberi kebenaran kepada pemohon-pemohon ini untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman mereka,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Zakaria; peguam kes tersebut, R.Meenakshi serta aktivis alam sekitar, Khoo Salma Nasution di Bayan Lepas, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa rancangan projek PSI telah dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar tambakan laut kepada hanya 930 hektar.
Kerja-kerja awal tambakan laut untuk projek PSI itu pula bermula sejak September tahun lalu selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk projek Silicon Island bagi projek itu memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang pada 21 Julai tahun lalu.
Menurut Mageswari, di dalam permohonan untuk semakan kehakiman, pemohon-pemohon telah memohon perintah-perintah antaranya satu deklarasi bahawa kebenaran merancang yang diberikan oleh PLANMalaysia pada 21 Ogos 2023 adalah batal dan tidak sah kerana ia melanggar peruntukan-peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD 1976).
”Pemohon juga memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan pemberian kebenaran merancang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memulakan kerja-kerja penambakan bagi projek PSI di daerah Barat Daya,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, pemohon juga telah memohon satu perintah lain agar kerajaan negeri dan SRS Consortium Sdn Bhd segera memulihkan semua atau sebarang kerosakan terhadap kawasan di mana kerja-kerja penambakan telah bermula untuk Pulau A dan projek PSR.
”Dalam hal ini, permohonan penggantungan kebenaran merancang akan didengar sebaik sahaja selepas mahkamah menetapkan tarikh semasa pengurusan kes yang telah ditetapkan pada 19 Februari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, selepas kerja-kerja tambakan projek PSI bermula, nelayan di kawasan selatan negeri itu berdepan dengan masalah kekurangan hasil laut terutamanya udang dengan ketara.
”Secara purata tangkapan udang pada suku keempat tahun 2021 dan 2022 ialah 185.65 kilogram, namun pada suku keempat 2023, serentak dengan permulaan kerja-kerja penambakan angka ini menjunam kepada 92.7 kilogram, iaitu pengurangan hasil kira-kira 50 peratus,” katanya.-UTUSAN










