Madani berdepan sembilan pertuduhan lagi - Utusan Malaysia

Madani berdepan sembilan pertuduhan lagi

Madani Pertuduhan
MOHAMAD Madani Sahari hadir di Mahkamah Sesyen untuk berdepan sembilan pertuduhan berkaitan dengan pengubahan wang haram, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari berdepan sembilan lagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan transaksi berjumlah RM4 juta dekat Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengekalkan pengakuan sama bagi kesemua sembilan pertuduhan tersebut iaitu mengaku tidak bersalah selepas kesemuanya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Kesemua itu menjadikan 11 pertuduhan keseluruhan dihadapi tertuduh dengan dua berkaitan rasuah berjumlah RM9 juta selepas didakwa pada 14 April dan kelmarin masing-masing di Mahkamah Sesyen di sini dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan tiga pertuduhan pertama dalam prosiding tersebut, Mohamad Madani didakwa menggunakan hasil aktiviti haram bagi membeli Pembelian Islamic Redeemable Preference Shares Class F dan membayar yuran guaman kepada Tetuan Norizan & Associates berjumlah keseluruhan RM3.25 juta.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 10 Julai hingga 20 Oktober 2021 dekat sebuah pejabat di Subang Jaya dan cawangan bank di Seksyen 15, di sini. Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

Semetara itu, enam lagi pertuduhan, Mohamad Madani didakwa terlibat dengan transaksi daripada aktiviti haram dengan memberi arahan kepada peguamnya Tetuan Norizan & Associates melalui Letter of Instruction to Release untuk memindahkan wang kepada dua individu, sebuah firma guaman dan sebuah syarikat dengan jumlah keseluruhan RM750,000.

Kesalahan tersebut pula didakwa dilakukan antara 17 Julai 2021 hingga Februari 2022 dekat cawangan bank sama di sini. Oleh demikian, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Akhir memaklumkan menggunapakai wang jaminan RM300,000 daripada kes yang dihadapi sebelum ini di mahkamah itu.

Permohonan juga dilakukan supaya semua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram serta satu kes berkaitan rasuah dihadapinya sebelum ini di mahkamah sama dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes rasuah yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. 

Peguam Rahmat Hazlan tidak membantah dan mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan. 

Sebutan semula kes pada 9 Jun depan.

Mohamad Madani, 56, sebelum ini berdepan dua pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM5 juta yang dituduh di dua mahkamah berasingan iaitu di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 April dan Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengakuan sama dibuat beliau direkodkan di hadapan Rozilah dan Suzana Hussin.

Dalam prosiding dekat Mahkamah Sesyen di sini, beliau didakwa meminta dan meminta sogokan sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat  memperoleh surat penganugerahan (LOA) berjumlah RM12 juta.

Surat tersebut melibatkan tujuan menjalankan Service Provider For MARii’s Employalibity And Re-Training Local Talent (ERT) Programme daripada Syarikat A2Z Technology Sdn. Bhd. iaitu syarikat subsidiari kepada MARii.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,  Mohamad Madani dituduh meminta suapan untuk dirinya RM5 juta daripada seorang individu berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk dirinya membantu mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja berjumlah RM24 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya