Bekas CEO MARii tak mengaku terima rasuah RM5 juta - Utusan Malaysia

Bekas CEO MARii tak mengaku terima rasuah RM5 juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta pada 8 Julai 2021.

Beliau membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Madani 56, didakwa secara rasuah menerima RM5 juta daripada seorang individu yang mengikut arahan individu lain sebagai upah membantu Syarikat Aspire Knowledge Sdn. Bhd. mendapat surat penganugerahan (LOA) berjumlah RM12 juta.

Surat tersebut melibatkan tujuan menjalankan Service Provider For MARii’s Employalibity And Re-Training Local Talent (ERT) Programme daripada Syarikat A2Z Technology Sdn. Bhd. iaitu syarikat subsidiari kepada MARii.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Seksyen 15, Shah Alam. Justeru, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Madani boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, kemudian menawarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah.

Peguam Rahmat Hazlan yang mengetuai pasukan pembelaan tiada bantahan terhadap tawaran tersebut dan bersetuju jaminan berkenaan akan digunakan untuk pertuduhan lain yang dijangka dihadapi Mohamad Madani.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 berserta syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Jun ini.

Dalam pada itu, Chin How juga memaklumkan pihak pendakwaan akan memohon pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur susulan tertuduh dikatakan bakal berdepan lebih 20 pertuduhan termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pertuduhan tersebut dijangka dibuat di Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan projek sama.

Terdahulu, tertuduh ditahan SPRM pada Mac lalu dan direman enam hari selepas disyaki mempunyai kaitan dengan projek bernilai RM85 juta melibatkan tempat beliau bekerja yang dalam masa sama didakwa membabitkan rasuah sebanyak RM14.9 juta bersama lapan lagi individu tidak didedahkan identitinya.

Individu terbabit termasuklah seorang bergelar ‘Datuk’, pegawai perubatan serta pengarah, akauntan dan dua ketua dalam syarikat swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya