KLANG: Tokoh wartawan penyiaran, Datuk Karam Singh Walia dikenang sebagai seorang yang tegas dan berpendirian terutama membabitkan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris walaupun dalam kalangan ahli keluarganya.
Anak kedua mendiang, Melvinder Singh Walia, 42, berkata, bapanya itu sentiasa menegur anak-anak ketika bertutur termasuk mendidik mereka menyebut sesuatu perkataan dengan betul.
“Dia buat macam itu supaya kami (sekeluarga) kuasai kedua-dua bahasa itu, selain bahasa Punjabi sebagai pertuturan harian. Malah, ayah juga selalu ingatkan kami belajar bersungguh-sungguh supaya dapat berkhidmat dengan masyarakat dan negara,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Terdahulu, Karam Singh, 65, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.30 pagi tadi dekat kediamannya.
Jelas Melvinder Singh, sebelum itu keadaannya ayahnya memang sudah uzur akibat komplikasi barah hati yang dihidapinya sejak 2024, namun masih boleh bercakap dan berjalan.
“Selepas doktor mengesahkan ayah menghidap penyakit barah hati, dia banyak menghabiskan masa dengan anak dan cucunya yang dianggap sebagai sumber kekuatannya.
“Doktor yang merawatnya ketika itu memberitahu berdasarkan keadaannya, dia mampu hidup sehingga sembilan bulan. Namun semangat ayah kuat. Ayah sangat gembira jumpa cucu (anak Melvinder). Walaupun dalam keadaan uzur, dia tetap kuatkan diri,” luahnya.
Tambahnya, upacara penghormatan terakhir terhadap wartawan ikonik alam sekitar itu dan pembakaran mayatnya akan dilakukan di Krematorium Simpang Lima, pada petang ini.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan menghargai semua pihak yang sentiasa menyokong ayah sepanjang beliau berkhidmat sebagai pemberita atau wartawan,” ujarnya. – UTUSAN










