SHAH ALAM: Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim antara dilantik menganggotai Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi menangani kesan akibat konflik di Asia Barat.
Beliau akan mengetuai jawatankuasa tersebut yang turut dianggotai oleh Pengarah Institut Pembangunan Dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA – UKM), Tan Sri dr. Noor Azlan Ghazali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan itu ditubuh menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada minggu lalu bagi menyediakan langkah segera membantu rakyat dan industri.
Katanya, pasukan khas itu akan mencadangkan langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya perang ini berterusan.
“Kerajaan Negeri akan mengumumkan langkah yang perlu diambil sebagai respon kepada isu bekalan dan kesannya kepada harga barang. Fasa pertama usaha mitigasi bagi rakyat Selangor akan diperkenalkan dalam tempoh dua minggu.
“Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri akan memulakan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 15 April ini dari Selasa hingga Khamis setiap minggu bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar api serta kesesakan jalan raya di samping mengukuhkan produktiviti pegawai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malah, Amirudin memaklumkan, kerajaan negeri juga akan menyemak semula Belanjawan Selangor 2026 dengan memberikan fokus kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat yang terkesan, sokongan kepada industri serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara pantas.
Jelasnya, antara langkah lain yang turut dilakukan adalah menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan kecuali hal berkaitan penggalakan pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke negeri ini.
“Sektor swasta di Selangor turut digalakkan untuk melaksanakan Dasar BDR melihat kepada kesesuaian industri, dan Kerajaan Negeri bersedia membantu dari segi adaptasi teknologi digital.
“Perang ini akan meninggalkan kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara dan Selangor, dan setiap warga Selangor perlu berganding bahu supaya kita bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi,” ujarnya. – UTUSAN










