SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Kuil Sri Sakthi di dalam daerah Petaling pada lima tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, M. Thiruselvam mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Thiruselvam, 65, didakwa menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu invois bernombor 001/2021 bertarikh 15 November 2021 kepada setiausaha kuil berkenaan.
Invois tersebut adalah berkaitan tuntutan berjumlah RM50,000 bagi rundingan penganjuran majlis dan baik pulih kebocoran pada dua tempat di kuil berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan pada 21 November tahun sama.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dan syarat tambahan iaitu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta larangan mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam, N. Lalitha Nagamuthu yang mewakili bapa kepada tiga orang anak itu memohon jaminan sebanyak RM3,000 memandangkan jumlah dicadangkan terlalu membebankan.
“Anak guam sudah membayar RM10,000 jaminan ketika ditangkap oleh SPRM, wang jaminan itu ada dalam simpanan mereka. Tawaran RM10,000 adalah membebankan.
“Tertuduh pula berusia 65 tahun dan sudah bersara, menerima pencen kira-kira RM600 sebulan. Selain itu Thiruselvam juga menghidap kencing manis, degupan jantung kuat dan darah tinggi.
“Saya juga memohon supaya penyerahan pasport tidak ditetapkan supaya tertuduh boleh mendapatkan rawatan di luar negara yang lebih murah dan ada masanya ia diperlukan,” katanya di sini, hari ini.
Hakim Mohd. Nasir kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta pematuhan terhadap syarat-syarat tambahan termasuk penyerahan pasport kepada mahkamah.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mei depan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, bekas pengerusi kuil berkenaan, P. Selvam, 70, membuat pengakuan sama atas pertuduhan bersubahat berhubung tuntutan tersebut.
Tertuduh yang didakwa mengikut seksyen sama dibenarkan ikat jamin RM15,000 oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud dan syarat-syarat tambahan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan memindahkan kes itu untuk dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir pada tarikh sama. – UTUSAN










