PETALING JAYA: Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sentiasa memperkukuh sistem pentadbirannya termasuk melakukan pelbagai usaha bagi menutup ruang untuk berlakunya gejala rasuah.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, ia termasuk memperkukuh sistem governans, integriti, audit dalaman pematuhan dasar serta mekanisme pemantauan.
Kata beliau, ia bagi memastikan sebarang salah laku dapat ditangani secara tegas dan berlandaskan peraturan.
“Gambaran menyeluruh tanpa mengambil kira usaha pembaikan dan kawalan sedia ada boleh mengundang tafsiran yang tidak tepat,” katanya menerusi surat maklum balas kepada Utusan Malaysia.
Hari ini, akhbar ini melaporkan, institusi pengajian tinggi (IPT) yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.
Dalam pada itu, Sufian berkata, setiap kenyataan yang diterbitkan sewajarnya diteliti dengan asas justifikasi yang kukuh termasuk membezakan antara kes terpencil, dakwaan, siasatan dan realiti sebenar tadbir urus institusi.
Kataya, mengangkat kes yang kecil atau bersifat terhad seperti mencerminkan keseluruhan IPT adalah tidak adil dan memberi kesan yang besar terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
“Ini termasuk menjejaskan imej universiti, keyakinan ibu bapa dan pelajar, kepercayaan rakan strategik serta reputasi negara dalam landskap pendidikan global,” katanya. – UTUSAN










