Lembah Silikon P. Pinang diperluas tingkat nilai pasaran semikonduktor negara - Utusan Malaysia

Lembah Silikon P. Pinang diperluas tingkat nilai pasaran semikonduktor negara

AHMAD ZAHID HAMIDI dan Chow Kon Yeow ketika meninjau gerai pameran pada persidangan Semicon Asia Tenggara di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Kerajaan Pusat akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperluaskan wilayah Lembah Silikon di negeri itu termasuk meneroka kawasan baharu di bahagian tanah besar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu juga akan dipertingkatkan menerusi penglibatan agensi berkaitan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jelas beliau, langkah itu merupakan inisiatif Kerajaan Pusat dalam memperkasa sektor semikonduktor negara ke arah mencapai sasaran menyumbang sebanyak 15 peratus daripada nilai pasaran keseluruhan berjumlah AS$1 trilion sektor terbabit pada 2030.

Ketika ini, ujarnya, Malaysia berada pada kedudukan ketujuh dunia dalam pengeluaran bahan-bahan semikonduktor yang menyumbang kira-kira 13 peratus nilai pasaran dunia.

“Perbincangan sudah diadakan secara tidak rasmi dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow supaya Lembah Silikon di negeri ini bukan sahaja dapat diperluaskan fasilitinya di seberang, tetapi mungkin boleh bekerjasama dengan MIDA dan agensi lain di bawah MITI untuk perluaskan fasiliti semikonduktor ini.

“Jika kita berjaya meningkatkan nilai pasaran semikonduktor kita kepada 15 peratus, maknanya sumbangan kita (dalam sektor semikonduktor) sangat besar di peringkat dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Spice Arena, dekat sini yang turut dihadiri Kon Yeow.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kawasan di selatan Kedah boleh dibangunkan untuk menyokong fasiliti sektor semikonduktor yang terdapat di Pulau Pinang ketika ini, Ahmad Zahid berkata, usaha tersebut akan lebih cepat dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri sealiran dengan Kerajaan Pusat.

Kepada soalan trend syarikat antarabangsa lebih memilih melabur di negara lain seperti Singapura, China dan Vietnam berbading Malaysia, Ahmad Zahid menjelaskan, Malaysia tidak perlu bersaing dengan negara-negara lain sebaliknya meningkatkan sumber yang dimiliki.

“Kita tidak hanya menyediakan infrastruktur, malah termasuk latihan untuk tenaga kerja.

“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga, banyak insentif dan rebat cukai diberikan kepada syarikat-syarikat antarabangsa.

“Kementerian-kementerian berkaitan juga bekerjasama erat dengan MIDA dalam mencapai agenda negara untuk menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) terutama daripada syarikat multinasional untuk melabur dalam sektor semikonduktor negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya