JASIN: Pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Kamis Ahmad, 67, yang pernah terkandas di Mekah, Arab Saudi selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di tanah suci menasihatkan agar jemaah haji memastikan minda dan badan berada dalam keadaan sihat sebelum menunaikan ibadah itu tidak lama lagi.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Khamis berkata, faktor kesihatan perlu menjadi keutamaan kepada jemaah kerana mereka bakal terdedah dengan risiko kesihatan lebih tinggi, ekoran kepadatan umat Islam dari seluruh dunia yang berkumpul di tempat dan waktu sama.
Katanya, individu yang mempunyai penyakit jantung lebih berisiko, jika soal kesihatan tidak diberikan tumpuan dalam kesibukan mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
“Pengalaman saya kena serangan jantung sewaktu mengerjakan umrah Mac lalu cukup memberi pengajaran betapa soal kesihatan perlu diberi keutamaan.
“Saya mengalami sesak nafas sehari sebelum pulang ke tanah air dan dimasukkan ke Hospital Al Shefa Syarif Mansour di Mekah selama 15 hari.
“Bila sudah pulih, saya terkejut terpaksa membayar bil rawatan mencecah RM150,000. Saya tidak ada wang sebanyak itu hingga satu ketika, saya putus harapan untuk pulang ke tanah air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kemendor di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kisah Kamis yang terkandas di Mekah berikutan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Al Shefa Syarif Mansour akibat serangan jantung, sehari sebelum pulang ke tanah air selepas menunaikan umrah pada 14 Mac lalu.
Isteri Kamis, Jaliah Yusof, 62, berkata, suaminya mengalami serangan jantung mengejut sehingga terpaksa menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan selama lapan hari sehingga 22 Mac.
Pesara guru itu berkata, keluarganya memerlukan dana berjumlah RM150,000 bagi membayar kos rawatan, selain menguruskan proses membawa pulang Kamis yang kini telah pulih sepenuhnya.
Tambah Kamis, dia menjadi tidak keruan apabila pihak hospital memberitahu, dirinya perlu ditahan sehingga menjelaskan sepenuhnya bayaran bil.
Bagaimanapun, Khamis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyumbang untuk membantunya membayar bil hospital, terutama seorang lelaki yang menderma RM100,000.
“Seorang hamba Allah yang tidak memberitahu namanya telah memasukkan RM100,000 ke dalam akaun anak dan membolehkan saya pulang dan selamat tiba ke tanah air pada 7 April lalu.
“Lebihan daripada dana itu diinfak kepada mangsa kebakaran di Nyalas, penderitaan seorang bayi mengalami penyakit kronik dan seorang lagi mangsa jemaah umrah yang turut terkena serangan jantung di Mekah baru-baru ini,” jelasnya. – UTUSAN










