Jangan beri peluang musuh politik jejas sokongan terhadap PH - Kon Yeow - Utusan Malaysia

Jangan beri peluang musuh politik jejas sokongan terhadap PH – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pelancaran Sky Residence Prai by The Ascott di Citadines Prai, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Ahli Pakatan Harapan (PH) serta rakan gabungan kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan tidak memberi peluang kepada musuh politik yang mahu mengambil kesempatan menjejaskan sokongan rakyat terhadap calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, segala isu dalaman parti yang berbangkit perlu dihentikan segera dan fokus kini seharusnya tertumpu kepada memastikan kemenangan dalam PRN bagi memastikan khidmat dapat diteruskan kepada rakyat negeri ini.

“Demi mencapai kemenangan besar di Pulau Pinang, saya minta semua ahli sama ada DAP mahupun rakan kami dalam PH dan rakan dari Kerajaan Perpaduan, jangan timbulkan peluang kepada musuh politik kita untuk memainkan isu yang boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada barisan calon kita kelak.

“Itu yang menjadi harapan saya pada ketika ini dan fokus kini diberikan sepenuhnya untuk persiapan PRN dengan gandingan kuat antara PH serta Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pelancaran Sky Residence Prai by The Ascott di Citadines Prai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan terdapat desakan dari dalam DAP sendiri yang mahu menggantikannya daripada terus memegang jawatan Ketua Menteri jika PH menang pada PRN nanti.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, beliau bersyukur susulan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP semalam tampil mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mereka terbabit dalam usaha dalaman berkenaan.

“Pada masa sama, saya juga bersyukur dengan komen-komen positif di media sosial dan penafian atas isu yang sedang melanda,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan kononnya terdapat desakan dalaman daripada DAP untuk menyekat Kon Yeow kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Laporan itu mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bakal kembali menerajui kerajaan negeri selepas mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, laporan berita berhubung isu berkenaan didapati telah ditarik balik daripada portal berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya