Ismail Sabri kesal kerajaan batal litar drag

Ismail Sabri kesal kerajaan batal litar drag

Pinjaman
ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal dengan keputusan kerajaan yang tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.

Menurut beliau, ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta sudah diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar itu untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Malah katanya, litar drag itu juga boleh menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

“Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini merupakan salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak,” katanya.

Ogos tahun lalu, media melaporkan, kerajaan bercadang membina sekurang-kurangnya sebuah litar drag untuk perlumbaan drag di setiap negeri bagi memperkasa program pembangunan sukan permotoran dengan cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan tidak bercadang meneruskan cadangan berkaitan pembinaan litar drag itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan, langkah berkenaan akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi dengan kementeriannya sedang menumpukan usaha untuk menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan sedia ada.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mencadangkan, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meninjau dan melawat litar perlumbaan drag yang sudah siap dibina di Terengganu dan Johor.

Ujar beliau, kos pembinaan litar drag di Johor adalah pada kadar minimum seperti pembinaan litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstand.

“Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada tahun 2022 juga hanya melibatkan kos sebanyak RM1.3 juta iaitu satu usaha kerjasama antara agensi swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN