Ibu yakin Muhammad Hawari masih hidup - Utusan Malaysia

Ibu yakin Muhammad Hawari masih hidup

AMRAN Hazali ketika menziarahi Che Tom Hassan di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: “Naluri saya kuat mengatakan yang Warie masih hidup dan amat berharap dia dapat kembali dengan selamat,” luah Che Tom Hassan, 64, ibu kepada peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim.

Beliau berkata, dia yakin anaknya itu mampu bertahan susulan mempunyai peralatan lengkap selain bekalan makanan yang mencukupi ketika dilaporkan hilang.

Tambahnya, mereka sekeluarga kekal positif walaupun misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari bakal ditamatkan Ahad ini.

“Hati saya kuat mengatakan masih ada harapan untuk Warie selamat dan kami memohon operasi mencari diteruskan selagi boleh.

“Besar sangat harapan saya agar Warie balik dalam macam mana keadaan dia sekalipun, kami terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dia tidak dapat tidur lena sejak kejadian menimpa Muhammad Hawari kerana sering mengenangkan keadaan anak ketiga daripada lima beradik itu.

“Saya ada lakukan solat hajat, namun sehingga kini belum ada sebarang petunjuk.

“Kami sekeluarga mohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia kerana saya sendiri tidak kuat untuk menghadapi dugaan ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali yang meluangkan masa bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan.

Jumaat lalu, Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Iskandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.

ME 2023 yang dianjurkan Altitude.MY itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang.

Mereka memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April lalu sehingga 2 Jun ini dengan mendapat sokongan kerajaan dan KBS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya