Timbunan sampah cemari tapak perkhemahan Everest - Utusan Malaysia

Timbunan sampah cemari tapak perkhemahan Everest

PENDAKI meninggalkan sampah pada ketinggian 8,000 meter semasa ekspedisi pembersihan Everest di Gunung Everest. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Tapak perkhemahan tertinggi di Gunung Everest kini dilaporkan telah bertukar menjadi timbunan sampah susulan tularnya sebuah rakaman video memaparkan lambakan khemah ditinggalkan, botol oksigen kosong dan sisa buangan manusia yang mengotori kawasan bersalji itu.

Paparan video yang tular di media sosial itu menunjukkan keadaan Kem IV, iaitu tapak perkhemahan tertinggi di dunia, dipenuhi dengan timbunan sisa buangan ditinggalkan oleh kumpulan-kumpulan pendaki.

Ia turut menyaksikan puluhan khemah usang berwarna kuning kelihatan terkoyak ditiup angin kencang.

Terletak di kawasan South Col, Kem IV berada di kedudukan antara Gunung Everest dan Gunung Lhotse yang masing-masing merupakan gunung tertinggi dan keempat tertinggi di dunia. 

Berada pada ketinggian 7,924 meter (m), kem itu merupakan lokasi persinggahan terakhir untuk para pendaki berehat. Para pendaki kemudian memulakan fasa pendakian merentasi zon maut menuju ke puncak setinggi 8,848m.

“Kawasan yang sepatutnya menjadi antara lokasi paling luar biasa di planet ini, dalam banyak sudut kini telah bertukar menjadi salah satu sisi paling buruk akibat aktiviti pengkomersialan Everest,” menurut satu hantaran di akaun X milik Everest Today.

Pihak itu turut menambah bahawa khemah yang ditinggalkan, botol oksigen kosong, tin makanan, peralatan yang rosak dan sisa buangan lain kini bertaburan di seluruh kawasan South Col.

Sampah itu menukarkan tapak perkhemahan tertinggi di dunia itu menjadi seumpama kuburan bagi peralatan mendaki. 

Mereka turut menyatakan bahawa gunung ikonik tersebut berhak mendapat layanan yang lebih baik daripada komuniti dunia.

Isu lambakan sampah ini dilaporkan menjadi semakin meruncing ekoran lonjakan kehadiran pengunjung yang mana rekod baharu dicatatkan apabila seramai 274 pendaki berjaya menawan puncak Gunung Everest melalui laluan Nepal dalam tempoh satu hari sahaja pada Mei. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN