BANDAR GAZA: Ramai penduduk Gaza menjadikan khemah sebagai pejabat, klinik dan premis perniagaan selepas tentera Israel memusnahkan hampir keseluruhan bangunan serta rumah dalam perang yang bermula 7 Oktober 2023 sebelum gencatan senjata dilaksanakan tahun lalu.
Meskipun gencatan senjata diumumkan pada Oktober 2025 yang kerap kali dicabuli oleh tentera Israel, semakin banyak khemah pejabat, ruang pembedahan sementara dan kedai mula bercambah di serata Gaza bagi membolehkan golongan profesional meneruskan perkhidmatan mereka.
Seorang pakar bidang anggota tiruan, Dr. Mohammed al-Khalidi melakukan tugas di dalam sebuah khemah di al-Mawasi, selatan Gaza yang mempunyai ruang amat terhad, gangguan bekalan elektrik, kehangatan suhu melampau dan bunyi bising sehingga menganggu proses rawatan.
“Berkhidmat di dalam ruang sementara ini langsung tidak boleh dibandingkan dengan klinik perubatan berkemudahan lengkap. Namun, bagi saya, ia jauh lebih baik berbanding menghentikan terus khidmat ini,” kata al-Khalidi kepada Al Jazeera.
Seorang jurutera awam, Omar al-Tawashi menawarkan perkhidmatannya di sebuah khemah di Deir el-Balah, tengah Gaza, bagi meneruskan pekerjaannya.
“Perpindahan saya ke khemah bukanlah pilihan profesional. Ia akibat kemusnahan tempat saya bekerja sebelum ini, ditambah pula dengan krisis sewaan yang menyukarkan saya mencari pejabat alternatif.
“Dalam sesetengah kes, kadar sewa meningkat lebih 10 kali ganda berbanding sebelum perang, menyebabkan saya tidak mampu menyewa pejabat baharu,” ujarnya.
Sementara itu, seorang akauntan, Mahmoud Shaheen menerima pelanggan di dalam sebuah khemah kecil, diiringi bunyi suara peniaga bersebelahan dan orang ramai lalu-lalang di pasar yang sesak di kem Nuseirat, tengah Gaza.
Shaheen sebelum ini bertanggungjawab mengurus akaun syarikat yang berpangkalan di Gaza tetapi pejabatnya musnah dalam serangan udara Israel pada November 2025.
“Berpindah ke khemah bukanlah pilihan kerjaya, sebaliknya tindak balas terhadap realiti yang dipaksakan oleh perang,” katanya.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan maut Hamas pada 7 Oktober 2023.
Ia telah mengorbankan lebih 74,000 orang, menurut kementerian kesihatan wilayah berkenaan yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas dan angka korbannya dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – AGENSI











