KATHMANDU: Kumpulan penyelidik dari Jabatan Ukur Nepal memberi amaran membuang air kencing pendaki ke atas ais kini mengancam keselamatan Glasier Khumbu di Gunung Everest.
Mereka mendapati membuang air kecil ke atas itu dikesan mampu mencairkan lebih 150 tan ais di kem induk.
Terletak pada ketinggian 5,363 meter, Glasier Khumbu merupakan glasier tertinggi di dunia dan juga menempatkan Kem Induk Everest.
Menerusi kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Regional Environmental Change, pasukan penyelidik yang diketuai oleh Khim Lal Gautum mendedahkan impak kehadiran pendaki, pemandu arah dan pasukan sokongan terhadap struktur glasier berkenaan.
Pasukan penyelidik memberikan tumpuan kepada musim bunga tahun 2023 yang menyaksikan lebih 2,000 individu menginap di kem induk itu.
“Kem Induk Everest menyaksikan peningkatan drastik dalam aktiviti manusia sejak beberapa dekad lalu.
“Peningkatan jumlah pendaki dan pasukan sokongan telah mendedahkan Glasier Khumbu kepada impak alam sekitar yang semakin teruk,” jelas kajian itu.
Berdasarkan pengiraan mereka, purata pelepasan urin harian di kem induk adalah kira-kira 3.181 liter bagi setiap individu.
Dengan anggaran 2,127 orang menginap selama purata 50 hari sepanjang musim bunga, jumlah keseluruhan pelepasan urin mencecah kira-kira 338,299 liter.
“Urin manusia dilepaskan secara terus ke atas permukaan ais di kawasan tanah tinggi, di mana suhu ais secara konsisten kekal di bawah 0 darjah Celsius,” jelas para penyelidik.
“Urin yang mempunyai suhu sekitar 37 darjah Celsius (suhu badan manusia) menyebabkan ais berkenaan mencair secara bertahap,” tambah mereka.
Sejak 2003, para pendaki di Kem Induk Everest sebenarnya telah menggunakan tong biru khas bagi tujuan pengumpulan bahan buangan najis. Bagaimanapun, cecair urin mereka masih dibuang secara terus ke atas permukaan ais sehingga mencetuskan kerosakan glasier berkenaan. – AGENSI










