Guan Eng tiada peluang jadi Ketua Menteri P. Pinang semula - Utusan Malaysia

Guan Eng tiada peluang jadi Ketua Menteri P. Pinang semula

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang diluluskan pada 2018 dengan jelas menghalang Pengerusi DAP, Lim Guan Eng daripada kembali menjadi Ketua Menteri semula.

Ia merujuk kepada peruntukan Perkara 7 Fasal 2 (a) (ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang memperuntukkan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan orang yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih selama tiga penggal pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal iaitu antara 2008 hingga 2018.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, pindaah Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu mula berkuat kuasa mulai 1 Februari 2019.

Menjelaskan lebih lanjut, tambah beliau, cadangan untuk meminda Perlembagan Negeri Pulau Pinang itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara melalui Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang pada 11 Jun 2018 selain telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Julai dan Ogos tahun sama.

Akhirnya, ujar Kon Yeow, Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dipinda bagi memperuntukkan kriteria tambahan berhubung dengan kelayakan seorang ADUN untuk dilantik sebagai Ketua Menteri.

“Melalui pindaan ini, seseorang ADUN tidak boleh dilantik menjadi Ketua Menteri jika ahli (ADUN) berkenaan pernah memegang jawatan Ketua Menteri selama dua penggal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

Laporan portal berita itu yang kemudiannya ditarik balik turut menyebut pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan diadakan Selasa lalu.

Bagaimanapun, Guan Eng serta sembilan ADUN DAP lain dalam kenyataan bersama kemudiannya menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada PRN akan datang.

Sementara itu, ditanya sama ada isu penyingkiran beliau sebagai Ketua Menteri tersebut sengaja dimainkan musuh politik DAP memandangkan 10 ADUN DAP menafikan terlibat, Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti pihak mana yang membangkitkan isu tersebut.

Bagaimanapun, ujar beliau, isu itu turut memberi kesempatan kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan mengenai pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkaitan lantikan Ketua Menteri berkenaan.

“Sebelum ini, pihak yang cuba memainkan isu lantikan Ketua Menteri ini tidak begitu faham dengan isu ini, jadi dengan penerangan hari ini mungkin pihak yang cuba memainkan isu ini juga dapat menerima `pendidikan politik’ yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.