PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui upah (gaji) penjawat awam terutama di peringkat rendah dan menengah pada waktu ini berada pada kadar tidak munasabah.
Perdana Menteri berkata, beliau secara dasarnya bersetuju agar upah dan gaji penjawat awam dinilai semula.
“Ini jaminan dan komitmen yang saya akan berikan. Bagaimanapun, semua kena faham bahawa kita (Kerajaan Perpaduan) mengambil alih kerajaan dalam keadaan hutang yang sangat parah.
“Jika kita mahu hasil negara bertambah, kita kena hapuskan perasuah dan amalan rasuah di negara ini. Saya mahu pekerja bangkit bersama saya dan menentang amalan rasuah,” katanya ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja 2023 sempena sambutan Hari Pekerja 2023, di sini semalam.
Katanya, beliau mahu diberi peluang selama setahun dan jika trend pertumbuhan hasil negara meningkat, maka, perkara pertama difikirkan adalah meningkatkan upah penjawat awam.
Anwar berkata, segala bonus dan kemudahan lain termasuk kesihatan dan pendidikan akan turut dibantu dan disegerakan.
“Apabila saya bercakap soal elakkan pembaziran sebenarnya penjimatan itu kita pulangkan balik kepada pekerja. Justeru, saya berpendapat bahawa kerajaan harus dan perlu meningkatkan upah pekerja swasta dan awam di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Anwar memberitahu, jemaah Menteri dijangka membincangkan cadangan mengenai tambahan peratusan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus waktu ini.
Perdana Menteri mengesahkan bahawa cadangan itu pernah dikemukakan, namun, ia belum dirujuk kepada Jemaah Menteri.
“Cadangan itu ada dibawa (dikemukakan), tapi belum dirujuk kepada Jemaah Menteri lagi. Ia akan dibincangkan. Ini (cadangan) keputusan dasar, jadi, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dan majikan,” jelasnya.
Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus.
Dalam masa sama, Perdana Menteri mahu badan pekerja seperti CUEPACS dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diuruskan dengan lebih cekap.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa pelaksanaan gaji minimum di negara ini juga sukar dilaksanakan dengan baik.
“Saya dengar pelaksanaan gaji minimum sukar dan wujud hiruk-pikuk. Saya mengarahkan agar perbincangan gaji minimum itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet bulan depan,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan dana RM1 juta masing-masing kepada MTUC dan CUEPACS bagi memperkemaskan pengurusan badan supaya lebih cekap. – UTUSAN










