Tiada gangguan bekalan telur di Kelantan, Terengganu - Salahuddin - Utusan Malaysia

Tiada gangguan bekalan telur di Kelantan, Terengganu – Salahuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada isu gangguan bekalan telur di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu seperti dilaporkan media.

Perkara itu disahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memaklumkan, pihaknya mengambil maklum laporan oleh akhbar ini hari ini berhubung isu gangguan bekalan telur ayam negeri di Pantai Timur menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, kementerian mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa buah pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan dan Terengganu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan pasar raya masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, kami juga sentiasa melakukan pemantauan berkala berhubung keberadaan bekalan telur ayam ke atas 225 buah premis Pengedar Peruncit Terpilih (Dedicated Distributor Retailer) di seluruh Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Salahuddin, berdasarkan statistik bekalan telur ayam di premis tersebut sehingga 20 April lalu, sebanyak 220,140 biji stok telur ayam pelbagai gred masih ada di pasaran.

Katanya, secara keseluruhannya, bekalan telur ayam di Kelantan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah sempena musim perayaan ini.

Salahuddin berkata, pemeriksaan di peringkat runcit dan borong juga mendapati, kedudukan bekalan telur ayam di seluruh Kelantan adalah stabil.

Jelasnya, bagi Terengganu pula, bekalan telur masih boleh diperoleh di pasar raya-pasar raya utama dan juga di kedai-kedai runcit di pekan-pekan kecil.

“Hasil pemantauan menunjukkan permintaan terhadap telur semakin menurun kerana berakhirnya bazar-bazar Ramadan dan tiada lagi permintaan yang banyak dari industri kuih, kek dan biskut raya.

“Telur daripada gred kawalan juga masih banyak dan dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna,” katanya.

Katanya, orang ramai khususnya pengguna di Pantai Timur dinasihatkan tidak panik dengan situasi ini dan berhemah apabila membeli telur ayam untuk kegunaan di musim perayaan ini bagi mengelakkan gangguan ke atas bekalan telur ayam di pasaran.

KPDN akan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara termasuk pada musim perayaan bagi memastikan pengguna dapat menyambut perayaan Hari Raya Aildilfitri dengan selesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya