Syarikat, pengarah didakwa tawar rasuah RM500,000 setahun

Syarikat, pengarah didakwa tawar rasuah RM500,000 setahun

ABDUL Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan menawarkan rasuah RM500,000.  - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan termasuk menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Wang itu didakwa bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim-Hakim Suzana Hussain dan Rozina Ayob.

Di hadapan Rozina, Hydroshoppe didakwa sebagai suatu organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh iaitu menawarkan suapan RM500,000 setahun kepada Datuk Tan Ser Lay, 60.

Menurut pertuduhan, wang itu ditawarkan untuk tempoh 15 tahun bagi faedah Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Oleh demikian, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di hadapan Suzana, Abdul Hamid Shaikh pula didakwa menawarkan RM500,000 kepada individu serupa dalam tempoh sama sebagai dorongan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe Sdn Bhd.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Lot 4G9, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara Julai dan Ogos 2022.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap pengarah itu atas dua tuduhan berkenaan.

“Syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap dua bulan.

“Jaminan dan syarat berkenaan dipersetujui kedua-dua pihak. Kami mohon tarikh sebutan seterusnya pada 2 Jun ini untuk penyerahan dokumen dan permohonan untuk kedua-dua pertuduhan dibicarakan secara bersama pada tarikh akan datang,” katanya.

Peguam bela tertuduh, Shu Ivy mengesahkan persetujuan jaminan dan syarat tambahan berkenaan.

“Kami baru saja dapat kertas pertuduhan pagi ini, kena kaji dahulu tuduhan sebelum membuat keputusan untuk bantah atau tidak perbicaraan secara bersama,” katanya.

Kedua-dua hakim membenarkan jaminan dan syarat seperti dicadangkan tertuduh sebelum menetapkan 2 Jun ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya