LIMA dekad penyanyi bertaraf legenda ini menghambakan diri dalam dunia seni suara tanah air. Sanisah Huri masih aktif menyanyi dan menghiburkan sehingga hari ini.
Penyanyi berusia 71 tahun ini merupakan antara penghibur berjaya yang diminati ramai diminati ramai ketika zaman kegemilangannya sekitar era 70 hingga 80-an.
Sanisah merekodkan pencapaian luar biasa, memiliki kira-kira 30 album merangkumi album studio, EP, latar filem dan sebagainya.
Selain itu, kemerduan suara Sanisah antara sering berkumandang di corong radio, mendendangkan lagu Hari Raya seperti Aidilfitri seperti Bersabarlah Sayang, Joget Aidilfitri dan lain-lain lagi ketika menjelang Syawal.
Oleh itu, sempena Syawal yang bakal tiba, penulis mendedikasikan ruangan Khabar Legenda kali ini untuk penyanyi kesayangan ramai ini.
Pelawaan penulis untuk menemu bual Sanisah disambut baik penyanyi ini meskipun kami hanya sempat berbicara dalam telefon kerana keberadaan beliau kini di Singapura.
Sepanjang perbualan, penyanyi ini membawa penulis mengimbau zaman kanak-kanaknya, remaja dan fasa kegemilangannya sebagai penghibur.
Kongsi Sanisah, dia ketika usia kanak-kanak, tidak pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi, apatah lagi menyimpan minat dalam bidang tersebut.
“Saya lebih gemar mendengar radio yang ibarat peneman saya di waktu lapang.
“Radio Singapura ketika itu sering memutarkan slot Bangsawan. Itu sahajalah hiburan di kala kebosanan. Waktu itu, kami tidak memiliki televisyen,” katanya yang cukup meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seniwati Saloma, Aziz Jaafar dan ramai lagi.
Disoal tentang sejarah penglibatan keluarga dalam bidang seni, Sanisah memaklumkan ada dalam kalangan anggota keluarganya yang memang aktif bermain muzik dan membuat persembahan.
“Arwah datuk saya mahir bermain violin manakala ibu bapa saya pernah menyanyi untuk majlis perkahwinan di kampung.
“Darah seni itu mengalir dalam diri saya cuma, ketika kecil saya tak minat menyanyi,” katanya lagi.
Bermula sebagai penari

Sanisah memulakan langkah dalam bidang seni sebagai penari yang menganggotai sebuah kumpulan yang dinamakan Terwellos.
“Kalau diikutkan waktu itu sekitar era 60 an. Kami sering diundang membuat persembahan sempena majlis makan malam di hotel-hotel sekitar Singapura.
“Waktu itu saya tak fikirkan sangat soal bayaran. Terima sahaja berapa pun yang dibayar kepada saya,” katanya.
Kongsi Sanisah lagi, kerjaya sebagai penari telah melorongkan peluang untuk muncul dalam filem A-Go-Go ‘67 yang dibintangi Aziz Jaafar, Noor Azizah dan ramai lagi.
“Pihak produksi ketika itu mencari penari agogo untuk menari di dalam filem tersebut.
“Bagi saya, itu adalah peluang yang jarang saya dapat. Jadi saya hadiri uji bakat yang diadakan di Orchard Road, Singapura. Rezeki menyebelahi, saya tak sangka terpilih selepas diuji bakat,” katanya lagi.
Kenangan bersama P. Ramlee, Saloma
Bagi Sanisah, peluang bertemu dan berkongsi pentas dengan idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma menjadi antara kenangan manis yang tidak dapat beliau lupakan sepanjang bergelar anak seni.
“Kami bertiga pernah berkongsi pentas sebanyak dua kali. Salah satunya dalam persembahan yang diadakan di Perak.
“Masa itu saya tidak berani berbual dengan Allahyarham kerana usia saya terlalu muda dan beliau ketika itu merupakan artis yang sangat terkenal.
“Tetapi, allahyarham, seperti ramai yang mengenalinya, seorang yang cukup peramah,” ujarnya.
Kongsi Sanisah lagi, antara kenangan lain bersama Allahyarham adalah ketika hadir ke rumahnya di Kuala Lumpur bersama artis terkemuka yang lain.
“Saya, bersama Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan barisan artis lain dijemput komposer Kassim Masdor ke rumah P. Ramlee di Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagu-lagu kami.
“Itu antara kenangan bersama Allahyarham yang tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini,” jelasnya.
Gelagat peminat
Sepanjang perkongsian, Sanisah juga menceritakan tentang pengalaman berdepan ragam peminat yang pelbagai.
Antara yang menarik adalah apabila penyanyi ini diekori peminat fanatik sehingga ke rumah.
“Beberapa kali juga peminat tersebut datang ke rumah. Dia bukanlah orang berbahaya. Cuma sekadar peminat fanatik.
“Tetapi saya memang tak biasa didatangi peminat sampai ke rumah. Jadi saya lebih banyak mengelak berjumpa dengannya,” katanya.
Sanisah bersyukur kerana memiliki peminat yang setia menyokongnya sehingga ke hari ini. Katanya, itu adalah sebuah nikmat yang cukup bermakna dalam hidupnya sebagai anak seni.
“Bahkan sampai sekarang masih ada yang sudi memberi hadiah seperti beg berjenama, kain mahal dan banyak lagi sempena ulang tahun kelahiran saya.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana mereka masih meminati dan menghargai kewujudan saya sebagai anak seni,” jelasnya.
Sejakku Bertemu Padamu

Penyanyi yang dilahirkan pada Januari 1952 ini bernasib baik kerana sering diberi kepercayaan merakamkan lagu-lagu berkualiti yang bersifat malar segar.
Antaranya lagu Sejakku Bertemu Padamu, yang sampai hari ini bukan sahaja menjadi siulan dan menerima permintaan dinyanyikan di majlis-majlis keramaian, malah dinyanyikan semula pelapis-pelapis baharu dunia seni suara.
“Saya sangat bersyukur dan tidak menyangka lagu ini boleh pergi sejauh ini. Ketika merakamkannya pada 1973, saya tidak pernah terfikir ia akan menjadi lagu malar segar.
“Mungkin ramai yang tak tahu, ketika mula-mula diterbitkan dahulu, lagu ini kurang mendapat tempat dan tidak popular dalam kalangan pendengar.
“Namun, ketika era 80-an dan seterusnya, ia mula diterima baik sehingga menjadi sangat popular,” katanya tentang lagu tersebut yang sebelum ini pernah dirakamkan Saloma.
Selain itu, Sanisah juga dianggap sebagai antara penyanyi yang sering menyerikan Hari Raya Aidilfitri dengan lagu-lagu malar segar seperti Aidilfitri dan Bersabarlah Sayang.
Katanya, dia juga tidak pernah menyangka rezeki lagu-lagu tersebut, lebih-lebih lagi lagu Aidilfitri yang dahulunya pernah dirakamkan penyanyi legenda, Kamsani dan Nona Asiah.
“Satu perkara yang mungkin tak ramai tahu, penulis lirik Mohd Noor Mohd Yusofe pernah berjumpa penulis lirik asal lagu ini, Said Zubir untuk meminta restu agar liriknya diubah untuk sesuaikan dengan nyanyian saya.
“Alhamdulillah, sampai hari ini, setiap kali menjelang Syawal, orang dengar lagu ini,” katanya.
Jaga kualiti suara

“Saya tak minum minuman berais, tak makan makanan pedas”
Itu petua diamalkan Sanisah dalam menjaga mutu suara agar agar kualiti dapat dikekalkan.
Kata Sanisah, sejak kanak-kanak dia dilatih menjaga kesihatan, termasuk mengelakkan minum minuman sejak dan berais.
“Saya tidaklah menjaga sangat. Bagi saya, semua ini pemberian Allah. Jadi saya sangat bersyukur.
“Tapi itulah, memang saya, sejak kecil, dilatih minum air suam dan tak makan pedas,” kongsinya.










