Rahmah idea Mahathir, bukannya Anwar - GTA

Rahmah idea Mahathir, bukannya Anwar – GTA

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsep Rahmah didakwa  adalah cetusan idea Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bukannya di bawah Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti digembar-gemburkan pada selama ini.

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim berkata, naratif itu bermula daripada Dr. Mahathir menerusi ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020 yang memperincikan sebuah gagasan baharu dan mengikat pelan tindakan bagi menjadi dasar negara.

“Rahmah telah dan sedang digambarkan sebagai idea Anwar di bawah konsep Madani. Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang mencolok mata, malah ia jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu.

“Saya ingin beri sedikit pencerahan agar dapat membantu memperbetulkan naratif Rahmah ini. Kerana apa? Apabila kita sedar naratif ini berasal dari mana, ke mana dan untuk apa, maka kita akan dapat menghayati maksud sebenar Rahmah.

“Rahmah bermula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan baharu ini disebut oleh Dr. Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020,” tulis beliau dalam Facebook.

Kata Mahdzir, Dr. Mahathir dalam ucapannya menjelaskan, kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam model Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni serta bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.

Justeru katanya, perkara itu secara langsung menunjukkan Rahmah sudah bermula sejak Dr. Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri kali kedua agar menjadi sebuah gagasan baharu dan diikat dengan satu pelan tindakan sebagai dasar negara.  

Jelas beliau, gagasan Rahmah telah disertakan bersama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 sebagai pemacu kepada agenda kerajaan yang lebih besar dan terancang. 

“Kesimpulannya naratif Rahmah ini sebenarnya bukan cetusan idea Kerajaan Madani apatah lagi Anwar seperti yang digembar-gemburkan. Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana gagasan Rahmah tidak memerlukan Menu Rahmah, Simen Rahmah, Tol Rahmah dan sebagainya. Gagasan Rahmah dalam konteks pelaksanaanya adalah suatu pendekatan sistem pentadbiran yang lebih bermaruah dan manusiawi.

“Namun apabila gagasan Rahmah ini sampai ke tangan Madani, ia menjadi seperti idea 1Malaysia hingga pelekat, poster, ayat dan segala benda di‘rahmah’kan. 

“Saya harap, naratif Rahmah ini dikembalikan kepada fungsi asalnya iaitu menjadikan pentadbiran kerajaan lebih bermaruah, berintegriti dan manusiawi. Kerajaan Madani boleh memperbetulkan naratif ini, jika mereka mahu,” jelasnya.

Menurut Mahdzir, modus operandi Rahmah itu sama juga dengan 1Malaysia dengan semua perkara hendak dinamakan bermula daripada tong sampah, klinik, pasar raya hingga ke sebutan Salam 1Malaysia. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya